Ahad, 27 Mei 2018 | 8:44pm
KETUA Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Iftar Perdana di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam. - Foto BERNAMA

Rakyat jadi pemantau, pengkritik kerajaan - Anwar

KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu rakyat menjadi pemantau dan pengkritik kepada kerajaan bagi memastikan tadbir urus serta dasar yang dilaksanakan berada di landasan yang betul.

Katanya, rakyat memainkan peranan penting dalam memastikan kerajaan baharu tidak melakukan kesalahan dalam mentadbir negara.

"Saya beritahu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang saya akan mengajak rakyat untuk pantau setiap wakil rakyat, menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga isteri saya.

"Ini menjadi tugas kita sekarang, bukan untuk mencerca tetapi menegur dengan penuh kasih sayang bahawa tanggungjawab (kerajaan) ini perlu dilaksanakan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Bersama Timbalan Perdana Menteri di perkarangan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam di sini, hari ini.

Anwar sekali lagi menegaskan beliau tidak mahu sebarang jawatan dalam kerajaan manakala hubungannya dengan Dr Mahathir amat baik selain menyokong semua usaha dilakukan Perdana Menteri untuk menyelamatkan negara.

"Cukuplah isteri saya, (Dr) Wan Azizah yang menerajuinya bersama Tun Dr Mahathir dan barisan kepimpinan yang lain.

"Masih ada orang tanya betul ke Anwar maafkan Tun (Dr) Mahathir, saya kata betul sebab orang nak berbaik, kita berbaik la...bukan nak menyusahkan rakyat, mencuri duit rakyat," katanya.

1532 dibaca
Berita Harian X