Jumaat, 18 Mei 2018 | 12:25am

Tun M dan selipar 2 dekad

KUALA LUMPUR: Jenama selipar keluaran Bata, yang sudah berada di pasaran sejak 20 tahun lalu, tiba-tiba menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen di media sosial.

Ia gara-gara selipar berharga RM12 itu digayakan oleh pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terbaharu, gambar Dr Mahathir sedang duduk di kerusi dengan hanya berkaki ayam, dengan seliparnya diletak di sisi ketika berada di dalam sebuah majlis makan malam, mula tersebar menerusi laman sosial.

Gambar itu pada mulanya dikongsikan oleh seorang pengguna Instagram, @azranshah, yang jelas menunjukkan ia jenama Bata.

Bata, dalam reaksinya di Facebook rasminya turut menampilkan semula sandal berkenaan sambil memuat naik promosi kepada orang ramai.

"Ramadan 2018, aksesori 'panas' yang dipakai oleh Tun M, boleh didapati di Kedai Bata terdekat atau pembelian secara atas talian."

Dalam ruangan komen di akaun Facebook itu, ada netizen bertanyakan kesahihan sandal yang dipakai oleh Dr Mahathir dan Bata mengesahkannya.

"Ya, ini adalah selipar keluaran Bata yang sudah berada di pasaran lebih 20 tahun. Hari ini, pengguna laman sosial telah berkongsi gambar Tun (Dr Mahathir) memakainya. Bata yakin ini adalah selipar itu," jelas Bata.

Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), minggu lalu.

12547 dibaca
Berita Harian X