Rabu, 16 Mei 2018 | 10:18pm

Pelaburan lemah 1MDB di luar negara

KUALA LUMPUR: Laporan Pengauditan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara (JAN) mendedahkan beberapa pelaburan bernilai tinggi yang dibuat 1MDB di luar negara menyaksikan pertimbangan lemah dibuat dalam tempoh yang singkat dan berisiko tinggi.

Hasil laporan mendapati, pelaburan awal 1MDB bagi tempoh empat tahun penubuhan syarikat itu pada 2009 hingga 2019 dengan menggunakan dana terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) adalah berjumlah RM5 bilion.

Pada 31 Mac 2015, pelaburan ini akhirnya berbaki AS$939.87 juta (RM3.725 bilion) dalam bentuk unit pelaburan portfolio bagi Syarikat Portfolio Terasing (SPC).

Projek luar negara 1MDB dengan syarikat luar negara bermula pada 2009 dengan hasrat meneroka peluang pelaburan di luar negara antara Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd dan 1MDB PetroSaudi Ltd (syarkat usaha sama) pada 28 September 2009.

Bagaimanapun, laporan JAN mendapati keputusan pelaburan dalam syarikat usaha sama dibuat dalam tempoh lapan hari tanpa proses penilaian terperinci dan sebelum isu atau syarat yang dibangkitkan oleh Lembaga Pengarah 1MDB diselesaikan.

Menurut JAN, terdapat empat syarikat yang berbeza didaftar dengan menggunakan nama asas PetroSaudi tetapi kertas cadangan pelaburan yang dikemukakan kepada Lembaga Pengarah 1MDB tidak menyatakan maklumat berkenaan.

Urus niaga luar negara 1MDB lain yang meragukan adalah membabitkan pendahuluan yang diterima oleh 1MDB PetroSaudi Ltd berjumlah AS$700 juta (RM2.774 bilion) daripada syarikat induknya, PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd pada 25 September 2009 yang perlu membayar balik sepenuhnya pada atau sebelum 30 September 2009.

Pembayaran balik pendahuluan oleh syarikat usaha sama berkenaan sejumlah AS$700 juta (RM2.774 bilion) ke dalam syarikat lain dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.

Selain itu, kelulusan Lembaga Pengarah dan pemegang saham 1MDB untuk menukar Nota Murabahah kepada ekuiti PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL) hanya ditandatangani pada 20 Jun 2012.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB sudah menandatangani lima dokumen berkaitan dengan perolehan terbabit pada 1 Jun 2012 , sekali gus menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB sudah mengambil tindakan sebelum kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.

Pada 12 September 2012, perjanjian jual beli untuk melupuskan keseluruhan ekuiti dalam 1MDB-IHL dimeterai antara 1MDB dan Bridge Partners. Sebagai balasan, Bridge Partners mengeluarkan enam nota janji tanpa faedah bernilai AS$2.318 bilion (RM9.19 bilion) yang perlu dibayar dalam tempoh satu bulan.

Pelaburan ini dibiayai melalui nota janji (promissory notes) sebagai ganti terimaan tunai yang kemudiannya dilabur dalam pelbagai pelaburan portfolio dalam Segregated Portfolio Company (SPC) di Cayman Islands.

Pelaburan ini dibuat melalui Bridge Global Absolute Return Fund SPC (Bridge Global SPC), iaitu syarikat yang baru sebulan ditubuhkan, tiada lesen sebagai pengurus dana dan tiada pengalaman untuk

menguruskan dana yang besar.

Pada 20 Mei 2013, Lembaga Pengarah 1MDB bersetuju supaya pelaburan terbabit ditebus secara berperingkat bagi meningkatkan persepsi awam terhadap kredibiliti pelaburan 1MDB. Lembaga Pengarah 1MDB mengeluarkan sembilan arahan.

Arahan itu dibuat antara bulan Mei 2013 hingga Ogos 2014 kepada pihak pengurusan untuk menyediakan pelan, jadual dan penebusan dana portfolio SPC sama ada secara berperingkat atau keseluruhan. Bagaimanapun, tiada tindakan segera diambil oleh pihak pengurusan 1MDB.

Pada Disember 2014, penebusan berjumlah AS$993 juta (RM3.935 bilion) dibayar untuk bayaran penamatan opsyen Aabar.

Keseluruhan dana portofilio SPC sebenarnya dicagarkan kepada Deutsche Bank bagi pinjaman berjumlah AS$975 juta (RM3.864 bilion) di mana kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB tidak diperoleh sebelum urusan ini dibuat.

Di samping itu, hasil penebusan portfolio SPC berjumlah AS$1.392 bilion (RM5.52 bilion) yang dimasukkan ke dalam akaun bank Brazen Sky Ltd dipindahkan kepada 1MDB Global Investments Limited.

3808 dibaca
Berita Harian X