Rabu, 16 Mei 2018 | 8:47pm
FOTO hiasan.

Berhati-hati dengan ungkapan bufet Ramadan, pakej Iftar

PUTRAJAYA: Peniaga yang mempamerkan iklan menggunakan ungkapan seperti 'Bufet Ramadan', 'Pakej Iftar' atau seumpamanya perlu memastikan hidangan disediakan mematuhi syarat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), berkata ungkapan yang membawa maksud makanan itu halal dimakan oleh orang Islam mesti mendapatkan perakuan JAKIM atau JAIN terlebih dulu.

"KPDNKK akan menjalankan pemeriksaan berkala sepanjang Ramadan yang bermula esok bersama-sama JAKIM dan JAIN di premis perniagaan makanan termasuk bazar dan hotel yang menyediakan juadah berbuka puasa.

"Jika penyediaan makanan dan perkhidmatan didapati bercanggah dengan hukum syarak, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas peniaga berkenaan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KPDNKK juga mengingatkan peniaga dalam industri makanan supaya sentiasa menjalankan amalan perniagaan yang beretika mengikut garis panduan dan undang-undang sedia ada, serta menasihatkan pengguna supaya membuat pilihan bijak dengan membeli makanan yang disahkan halal.

Katanya, jika pengguna mengetahui mana-mana peniaga yang menyalahgunakan ungkapan halal, mereka boleh menyalurkan aduan kepada KPDNKK di talian 1-800-886-800 atau melalui portal eaduan.kpdnkk.gov.my atau berhubung terus dengan Bahagian Hab Halal JAKIM bagi mendapatkan status halal produk terbabit.

1681 dibaca
Berita Harian X