Rabu, 16 Mei 2018 | 8:22pm

Banduan manfaat Rumah Ngaji

KAJANG: Seramai 4,400 banduan Penjara Kajang mendapat manfaat daripada kempen #QuranHour dengan tertubuhnya cawangan Rumah Ngaji pertama di penjara berkenaan sejak 2015.

Pengarah Jabatan Penjara Kajang, Abdul Halim Ma Hasan, berkata penghayatan terhadap al-Quran lebih berkesan kerana Rumah Ngaji menyediakan modul lengkap, iaitu bukan sekadar membaca, bahkan sesi tadabbur dan hafalan surah tertentu.

"Projek Rumah Ngaji di Penjara Kajang ialah penanda aras kepada institusi penjara kerana kami yang memulakannya sebelum diikuti lapan jabatan yang lain.

"Kerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas nampaknya berhasil dengan kelas pengajian sedia ada yang selesa dan cukup lengkap dengan alatan bersesuaian seperti naskhah al-Quran, Iqra' dan rehal.

"Ia juga amat signifikan dalam usaha kami yang menekankan dua aspek, iaitu pendidikan dan pemulihan dalam kalangan banduan," katanya dalam sesi lawatan media ke Rumah Ngaji Penjara Kajang di sini, hari ini.

Abdul Halim berkata, pengajian al-Quran bagi banduan juga dilihat lebih sistematik dan berstruktur dengan modul yang lengkap dan ditambah pula dengan tenaga pengajar dalam kalangan kakitangan, selain mendapat bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurutnya, sebelum wujud Rumah Ngaji, pengajian agama dan al-Quran di Penjara Kajang tidak diadakan di satu tempat khusus tetapi kewujudan ruang kelas yang boleh menempatkan 80 hingga 100 banduan dalam satu masa itu memberikan nilai tambah dalam usaha melahirkan masyarakat yang dekat dengan al-Quran.

Lebih empat tahun diadakan, beliau berkata, ada banduan yang sudah khatam al-Quran dan tidak kurang juga yang mampu menghafaz al-Quran.

Abdul Halim yang turut menyokong penuh acara World #QuranHour yang bakal berlangsung secara besar-besaran di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuala Lumpur pada 7 Jun ini berkata, banduan Penjara Kajang akan turut melakukan aktiviti bertadarus bagi sama-sama menjayakan kempen berkenaan.

Sementara itu, banduan warga emas, Rahim Yahya, 64 menyifatkan Rumah Ngaji banyak membantunya untuk mendalami al-Quran yang dahulunya ditinggalkan kerana terlalu mengejar hal dunia.

"Saya boleh membaca al-Quran tetapi tidak terlalu baik jadi banyak impak positif apabila diberikan peluang mengikuti kelas Rumah Ngaji di sini, antaranya dapat kembali memperbetulkan bacaan, selain diajar taranum al-Quran.

"Masyarakat di luar mungkin lebih banyak peluang untuk belajar al-Quran, jadi saya harap kita sama-sama menyokong untuk mengangkat al-Quran ke tahap yang tertinggi," katanya.

World #Quran Hour tahun ini yang diadakan pada 10hari terakhir Ramadan bermatlamat menggalakkan setiap individu membaca, faham dan mengamalkan nilai yang terdapat dalam al-Quran.

Ia dijangka akan disertai oleh 100 negara dengan pelan jangka panjang bagi mewujudkan sinergi bagi meninggalkan legasi al-Quran dalam umat Islam.

330 dibaca
Berita Harian X