;
Rabu, 16 Mei 2018 | 7:02pm

Klinik 1Malaysia beroperasi seperti biasa

KLANG: Klinik 1Malaysia di daerah ini masih beroperasi seperti biasa walaupun peralihan kuasa berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) minggu lalu.

Tinjauan mendapati Klinik 1Malaysia di sekitar Klang iaitu di Taman Sentosa, Kampung Delek dan Pandamaran dikunjungi pesakit seperti biasa untuk mendapatkan rawatan.

Menurut kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang enggan dikenali, pihaknya belum menerima apa-apa arahan secara rasmi dari kerajaan Persekutuan sebaliknya sekadar maklumat menerusi aplikasi WhatsApp.

"Setakat ini belum terima sebarang arahan, cuma sekadar maklumat tidak formal yang dikongsi melalui WhatsApp.

"Justeru, papan tanda yang bertulis 'Klinik 1Malaysia' masih belum diturunkan dan kami menunggu menteri baharu," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, lencana kecil logo 1Malaysia yang dipakai pada pakaian seragam kakitangan sudah ditanggalkan manakala mereka masih menunggu arahan lanjut berkaitan urusan lain berkaitan klinik.

Dalam pada itu katanya, ramai pesakit yang kerap mendapatkan perkhidmatan di klinik berkenaan berharap perkhidmatan itu tidak ditutup kerana ia banyak membantu pesakit.

"Rata-rata pesakit yang mendapatkan rawatan di sini menyatakan klinik ini banyak membantu mereka kerana tidak perlu bersesak di Klinik Kesihatan selain terletak agak jauh dari kawasan terbabit.

"Selain itu klinik ini juga dibuka 24 jam sehari dan hanya ditutup pada Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Deepavali," katanya.

Selain di Sentosa, Kampung Delek dan Padamaran, terdapat dua lagi Klinik 1Malaysia di Klang iaitu di Sungai Kapar Indah dan Batu Belah.

Difahamkan, secara keseluruhan, terdapat 47 Klinik 1Malaysia beroperasi di Selangor membabitkan sembilan daerah.

1691 dibaca
Berita Harian X