Rabu, 16 Mei 2018 | 6:36pm
HAMZAH Othman (dua dari kanan) dinobat Tokoh Guru Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan 2018, semalam.

Hamzah dinobat Tokoh Guru Kebangsaan 2018

PUTRAJAYA: Bekas Guru Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor, Kuala Terengganu, Hamzah Othman, 62, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan 2018, semalam.

Pada majlis sama yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, turut diumumkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2018.

Penganugerahan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad itu menyaksikan dua tokoh terbabit masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM35,000, plak dan sijil penghargaan.

Hamzah ketika ditemui pemberita berkata, walaupun sudah bersara, beliau tetap aktif mencurahkan ilmu bagi membantu mempertingkatkan prestasi pelajar kurang berkemampuan, Orang Asli dan mereka yang bersekolah di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, jiwa pendidik dimiliki tidak pernah luntur, justeru jadualnya sentiasa padat dengan program ceramah kepada pelajar dan guru.

"Berdasarkan pengalaman saya sebagai guru, pelajar didapati mudah bosan ketika sesi pembelajaran jika guru tidak pandai menarik minat dan perhatian mereka ketika mengajar.

"Sehubungan itu, saya menghasilkan modul Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK 21) yang dapat membantu guru serta pelajar menterjemahkan teori pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara kreatif," katanya.

Katanya, kaedah yang kreatif amat penting bagi mengelakkan pelajar daripada mudah bosan ketika mengikuti sesi PdP di dalam kelas .

Majlis bertema 'Guru Pemacu Transformasi Pendidikan' itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, dan hampir 1,500 guru dari seluruh negara.

527 dibaca
Berita Harian X