Selasa, 17 April 2018 | 6:48pm

RM12.4 juta bagi kawalan ulat bungkus

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan dana RM12.4 juta kepada pekebun kecil persendirian di seluruh Malaysia melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi tujuan kawalan bersepadu ulat bungkus.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam kenyataan memaklumkan kesan daripada serangan ulat bungkus boleh menyebabkan kerugian hasil sawit pada kadar 33 hingga 47 peratus yang mampu menjejaskan pendapatan negara secara amnya.

Katanya, serangan ulat bungkus juga memberi impak kepada peneroka dan pekebun kecil yang bergantung harap sepenuhnya kepada hasil sawit untuk menyara kehidupan seharian dan keluarga.

"Serangan ulat bungkus yang serius biasanya mengambil masa sehingga dua tahun untuk dipulihkan sepenuhnya melalui kawalan secara bersepadu.

"Menurut data yang direkodkan MPOB, hampir 28,051 hektar kawasan pekebun kecil diserang ulat bungkus.

"Justeru, bagi pekebun kecil sawit persendirian di mana pengeluaran hasil sawit yang terjejas akibat serangan ulat bungkus, mereka akan dibantu oleh MPOB melalui pelaksanaan Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM)," katanya.

Menurut kenyataan itu, IPM membabitkan semburan racun biologi menggunakan bakteria Bacillus Thruingiensis (BT) secara semburan udara, dan ia tidak berbahaya kepada manusia, serangga bukan sasaran dan alam sekitar.

"Semburan udara BT ini dilakukan dengan menggunakan kapal terbang dan dron di kawasan tanaman sawit yang mengalami serangan," katanya.

Menurut kementerian, situasi serangan ulat bungkus ini perlu ditangani segera dengan strategi amalan pertanian yang baik dan pelaksanaan pengurusan perosak bersepadu.

Katanya, kerjasama semua pihak dan agensi adalah perlu untuk menangani serangan ulat bungkus yang semakin serius.

"Strategi dan langkah kawalan yang sedang dijalankan ini, diharap mampu mengurangkan masalah ulat bungkus dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan industri sawit negara," katanya. - BERNAMA.

293 dibaca
Berita Harian X