Selasa, 17 April 2018 | 6:42pm
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra bersama sebahagian 300 mahasiswa pada Majlis Ramah Mesra bersama Kepimpinan Mahasiswa dan Aktivis Belia Malaysia di Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA

Generasi milenia nadi kebangkitan masa depan

PUTRAJAYA: Idea segar, kreatif dan kritis yang disampaikan golongan muda amat penting dalam memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu mentadbir dengan lebih baik pada hari ini serta masa depan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata golongan muda di negara ini perlu terus menyampaikan idea segar, kreatif dan kritis terhadap BN agar parti itu terus kekal relevan menjadi sandaran rakyat.

Beliau berkata, kepimpinan BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak amat memerlukan sokongan golongan itu kerana sokongan anak muda penting dalam memastikan BN kuat dan kalis daripada sebarang ancaman.

"Dalam erti kata lain, generasi milenia akan terus menjadi nadi kebangkitan gelombang biru yang akan memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya nanti," katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) dan Aktivis Belia Malaysia (MALAYA) yang dihadiri kira-kira 300 mahasiswa di Seri Perdana di sini, hari ini.

Selain itu, menurutnya, golongan muda juga perlu sentiasa bersedia menerima tanggungjawab lebih besar, berfikir dan berusaha untuk membina Malaysia yang lebih maju serta makmur pada masa hadapan.

"Golongan muda adalah masa depan Negaraku Malaysia yang bakal mewarnai dan mencorak perjalanan gemilang negara kelak.

"Jadilah pemimpin dalam pelbagai lapangan masa depan yang bijaksana dan mampu mengemudi negara ke tahap yang lebih tinggi lagi.

"Saya percaya anda semua adalah pemikir, ilmuwan, sarjana dan teknokrat agung masa hadapan yang bakal mewarnai dan mencorak perjalanan gemilang negara Malaysia kelak," katanya.

Rosmah berkata, kerajaan BN sememangnya komited dalam memastikan kesejahteraan anak muda sejak dulu lagi.

"BN akan memastikan kehendak dan aspirasi golongan muda terutama dalam aspek kerjaya, pemilikan kediaman dan latihan kemahiran terus dipenuhi bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan negara.

"Keprihatinan BN terhadap keperluan golongan muda bukan satu tindakan bermusim, malah ia dilaksanakan sejak dulu lagi," katanya.

206 dibaca
Berita Harian X