Isnin, 16 April 2018 | 11:18pm
Prof Pengarah Program Rayuan Ramadhan dan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (IKRAM) (I-Bantu), Prof Madya Ainullotfi Abdul Latif (kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM merasmikan Rayuan Ramadhan 2018 pada sidang media dan pelancaran Rayuan Ramadhan IKRAM 2018 di Hotel WP. - Foto Aswadi Alis

IKRAM sasar RM1 juta Rayuan Ramadan 2018

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) menyasar sumbangan sekurang-kurangnya RM1 juta menerusi program Rayuan Ramadan IKRAM 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat IKRAM, Prof Madya Ainullotfi Abdul Latif, berkata jumlah itu bakal diagihkan bagi membantu umat Islam serta mereka yang kurang bernasib baik di negara ini serta beberapa negara luar sepanjang tahun ini, khususnya pada Ramadan.

"Antara program yang dirancang termasuklah pengagihan bantuan makanan, pendidikan, infrastruktur, kesihatan, sedekah dan fidyah.

"Bantuan hasil program Rayuan Ramadan ini akan diagihkan kepada fakir miskin, mereka yang ditimpa bencana, ditindas atau mangsa perang, orang kurang upaya (OKU), mahasiswa yang memerlukan serta pelarian di dalam dan luar negara.

"Semua pengagihan ini akan dilaksanakan bersama rakan badan bukan kerajaan (NGO) lain iaitu Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), IKRAM-Musleh, IKRAM Health, Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni) dan Hidayah Centre Foundation (HCF)," katanya pada sidang media pelancaran Rayuan Ramadan IKRAM 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden IKRAM, Shahrul Aman Mohd Saari.

Ainullotfi yang juga Pengarah Rayuan Ramadan IKRAM 2018, berkata pihaknya akan menggerakkan kutipan sumbangan bermula esok di seluruh negara dan mengharapkan sokongan daripada individu, institusi serta badan korporat.

Katanya, IKRAM juga turut menggerakkan program 1Tabung 1Pelajar dengan menyasar kutipan sumbangan daripada pelajar sekolah rendah sebanyak seringgit sehari, bagi menggalakkan budaya menabung dan menderma.

"Rayuan Ramadan tahun lalu berjaya mencatatkan sumbangan lebih RM643,000 yang diagihkan dalam bentuk bantuan makanan, pendidikan, infrastruktur, sedekah, fidyah serta bantuan umum, dan berharap sasaran sekurang-kurangnya RM1 juta dapat direalisasikan tahun ini," katanya.

Ainullotfi berkata, Rayuan Ramadan IKRAM yang menjadi program tahunan dan memasuki kali ke-20 penganjuran itu, bermula sejak 1999 dan sudah menyantuni kira-kira 700,000 penerima di 21 negara seperti Palestin, Syria, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Nepal, Myanmar, Sudan, Vietnam, Somalia, Filipina dan Indonesia.

Terdahulu, media turut dibawa meninjau program dilaksanakan IKRAM di Chow Kit di sini, dikenali sebagai Street Ngaji yang mendedahkan golongan gelandangan dan miskin bandar di ibu negara dengan pengajian Al-Quran serta akademik.

785 dibaca
Berita Harian X