Rabu, 14 March 2018 | 9:15pm
- Gambar hiasan

Wang di Switzerland bukan hak rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Wang berjumlah CHF104 juta (RM430 juta) yang kini dalam simpanan Perbendaharaan Persekutuan Switzerland bukan hak rakyat.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata ia juga tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi atau syarikat di negara ini termasuk syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kementerian itu berkata siasatan yang dilakukan oleh pelbagai pihak berkuasa di negara ini seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pejabat Peguam Negara tidak menunjukkan atau mengesan dana hilang daripada 1MDB.

Justeru, katanya, sukar bagi Malaysia menuntut wang itu seperti yang didakwa oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam surat mereka yang melobi Ahli Parlimen Switzerland kononnya supaya memulangkan wang itu kepada rakyat Malaysia.

Ia berkata dakwaan itu disifatkan tidak berasas kerana 1MDB memberikan penjelasan kepada kementerian bahawa sebarang tuduhan asetnya yang disembunyikan atau disalahgunakan sama ada di dalam atau luar negara adalah tidak benar dan berunsurkan politik semata-mata.

"Daripada maklumat yang diperoleh, FINMA (Pihak Berkuasa Pasaran Kewangan Switzerland) sedang menyiasat pelbagai bank swasta di Switzerland berikutan aduan bahawa terdapat bank yang melanggar undang-undang pengubahan wang haram negara itu.

"Situasi ini menyebabkan keuntungan secara haram melalui beberapa transaksi perbankan tanpa melakukan pemeriksaan latar belakang yang mencukupi dalam hubungan perniagaan dan transaksi.

Tindakan ini dianggap sebagai kesalahan serius di bawah undang-undang kewangan dan perbankan Switzerland," katanya.

Kementerian Kewangan berkata pihaknya dimaklumkan RM403 juta berkenaan sebenarnya mewakili jumlah keseluruhan denda atau penalti yang dikenakan oleh FINMA ke atas pelbagai bank swasta kerana melanggar undang-undang kewangan dan perbankan negara berkenaan.

"Kami dimaklumkan denda yang dikenakan dipertikaikan oleh pelbagai bank swasta Switzerland dan kini dalam proses rayuan kepada Mahkamah Switzerland supaya dilepaskan daripada tindakan apa-apa tindakan salah.

"Oleh itu, RM403 juta bukan wang milik Kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi atau syarikat berkaitannya," katanya.

10520 dibaca
Berita Harian X