Rabu, 14 March 2018 | 8:40pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua dari kiri) meyampaikan Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan yang mendapat insentif 5,000 kepada pasangan suami isteri, Muhammad Kamil Kamaruddin, 26, (dua dari kanan) dan isterinya, Nurul Sheila Fatin Zaidi, 26, (kiri) dalam majlis Peyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban. - Foto Adzlan Sidek

Suami isteri siswazah cemerlang terima anugerah

SEREMBAN: Kesibukan dengan urusan pelajaran serta rumah tangga tidak menghalang pasangan suami isteri menamatkan pengajian perubatan dengan cemerlang di Universiti Ain Shams, Mesir.

Dr Muhammad Kamil Kamaruddin dan isteri, Dr Nurul Sheila Fatin Zaidi, kedua-duanya berusia 26 tahun, masing-masing memperoleh keputusan Jayyid Jiddan (Sangat Baik) dan Jayyid (Baik) dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri, tahun lalu.

Mereka menerima tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sepanjang tujuh tahun pengajian.

Pasangan itu yang kini di Hospital Segamat, adalah antara 166 penerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan, yang menerima insentif RM5,000, disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini.

Dr Muhammad Kamil yang berasal dari Port Dickson, berkata kejayaan itu membuktikan keputusan mereka untuk berkahwin pada September 2012 ketika masih dalam pengajian adalah tepat.

"Kami sebenarnya saling mengenali sejak di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu tetapi hanya sebagai kawan.

"Ketika melanjutkan pengajian bersama-sama di Mesir pada 2010, kami mula mengenali diri masing-masing lebih dalam dan membuat keputusan pulang ke Malaysia untuk berkahwin dengan direstui oleh keluarga masing-masing," katanya.

Sementara itu, Dr Nurul Sheila berkata perkahwinan tidak menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran, sebaliknya melatih mereka yang turut menerima bantuan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) untuk membahagikan masa dengan baik.

"Kami belajar menguruskan masa dan kehidupan dengan baik di Mesir dan Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar, malah kami tidak menghadapi masalah untuk menghadiri kelas dan menyiapkan tugasan.

"Kehidupan kami diserikan dengan kehadiran cahaya mata perempuan yang dilahirkan di Mesir pada Oktober 2015 sebelum menamatkan pengajian tahun lalu," katanya yang berasal dari Gemas.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata, pihaknya menganjurkan acara sedemikian untuk memberi semangat kepada anak Negeri Sembilan belajar bersungguh-sungguh seterusnya mencapai kejayaan dalam hidup.

"Sebenarnya banyak bantuan diberikan kepada anak Negeri Sembilan yang melanjutkan pengajian termasuk melalui MAINS dan YNS.

"Bilangan siswazah yang mendapat kelas pertama juga semakin meningkat setiap tahun iaitu seramai 2,127 sejak tahun 2016," katanya.


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bergambar beramai ramai bersama semua penerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan yang mendapat insentif 5,000 pada majlis Peyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di Klana Resort, Seremban. - Foto Adzlan Sidek

1998 dibaca
Berita Harian X