Selasa, 13 March 2018 | 7:24pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
 - Foto BERNAMA

Persempadanan tidak peduli kepentingan parti politik

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan, semua sistem kendalian badan itu termasuk pendaftaran pemilih, perjalanan dan persempadanan semula bahagian pilihan raya, dilaksanakan secara telus dan adil, tanpa mengambil kira kepentingan mana-mana parti politik.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata dakwaan pihak tertentu kononnya ada manipulasi terhadap sistem dan persempadanan semula bahagian pilihan raya dilakukan untuk membantu kemenangan parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tohmahan, tidak berasas sama sekali serta berniat untuk mengelirukan.

"Dalam hal ini, pihak berkenaan hanya melihat kesan persempadanan semula yang dijalankan itu dalam konteks kepentingan politik kepartian mereka semata-mata.

"Bagaimanapun, bagi SPR, dalam menjalankan urusan ini, tidak pernah mengambil kira kepentingan politik mana-mana parti kerana kami melihat tujuan dan kesan persempadanan semula itu dalam perspektif yang lebih utama iaitu untuk kepentingan keseluruhan pengundi dan wakil rakyat di setiap bahagian pilihan raya yang terbabit.

"Persoalan terhadap penentuan kalah atau menang mana-mana calon atau parti adalah bergantung kepada usaha mereka dalam memenangi hati rakyat serta menarik sokongan pengundi untuk memilih mereka kerana pengundi mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pilihan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu sebagai maklum balas kepada artikel disiarkan akhbar The Economist bertajuk 'How Malaysia's Next Election Will Be Rigged' pada 8 Mac lalu, yang mendakwa ada manipulasi sistem pilihan raya dan persempadanan semula bahagian pilihan raya yang dijalankan bertujuan membantu kemenangan parti pemerintah pada PRU-14.

Selain itu, Hashim berkata, persoalan 'gerrymandering' dan 'malapportionment' yang dijadikan alasan untuk menuduh SPR melakar sesuatu kawasan pilihan raya untuk kemenangan parti tertentu juga tidak benar dan keputusan mahkamah, baru-baru ini yang memihak SPR membuktikan badan itu mematuhi prinsip persempadanan semula berdasarkan peruntukan dalam Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

"Formula perbandingan persempadanan tidak sama rata yang dibangkitkan juga tidak wajar dan berniat mengelirukan rakyat, sebagai contoh, membandingkan bahagian pilihan raya Parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kategori bandar dengan luar bandar yang jelas berada dalam kategori yang berbeza," katanya.

Beliau berkata, syor persempadanan semula dirangka dengan mengambil kira semua cadangan dan maklum balas yang diterima daripada pembantah yang layak mengikut undang-undang melalui representasi bantahan yang dikemukakan dan SPR sudah mempertimbangkan serta meminda kebanyakan syor asal sebelum menyediakan laporan akhir, yang seterusnya diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 9 Mac lalu.

Berhubung sistem pendaftaran pemilih, Hashim berkata, SPR sudah mewujudkan proses yang telus dan adil di mana setiap pewartaan daftar pemilih mesti melalui proses pameran rang daftar pemilih tambahan kepada umum dan pemilih yang layak diberi peluang untuk membuat bantahan dan tuntutan, selain pendengaran awam untuk membuktikan sesuatu permohonan itu sah atau sebaliknya.

Katanya, pada PRU-14, dianggarkan ada lebih 200,000 ejen calon atau parti akan berada pada hampir 30,000 tempat mengundi (saluran) bagi memantau proses PRU-14 dan setiap parti dan calon dinasihatkan melantik wakil mereka secukupnya.

Hashim menegaskan, apa saja kritikan dan cadangan yang dikemukakan kepada SPR berkaitan sistem pilihan raya tidak akan menjejaskan komitmen badan itu untuk memastikan PRU-14 mematuhi semua proses perundangan berkaitan pilihan raya.

"SPR tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya dan akan mengambil tindakan undang-undang jika ada pihak yang cuba menyebarkan berita palsu dan menimbulkan kegemparan serta menjejaskan proses PRU-14 nanti," katanya.

481 dibaca
Berita Harian X