;
Isnin, 5 March 2018 | 3:23pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tingkatkan kerjasama sekolah, polis

KUALA LUMPUR: Pengurusan sekolah perlu mempertingkatkan kerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dalam usaha menangani insiden jenayah, sekali gus mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kerjasama antara kedua pihak diperlukan dalam usaha mengawasi dan memantau keselamatan pelajar di beberapa sekolah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko atau `hotspot'.

Katanya, kebiasaannya polis akan memberikan laporan kepada Jabatan Pendidikan negeri mengenai insiden jenayah di luar kawasan sekolah.

"(Kejadian tembakan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang, Serdang) satu perkara mengejutkan sebab berlaku di persekitaran sekolah walaupun berlaku di luar.

"Kita minta supaya kerjasama dengan polis dapat ditingkatkan supaya perkara seumpama ini tidak berlaku lagi," katanya pada pemberita di Parlimen, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.45 petang Khamis lalu, seorang lelaki mati ditembak ketika berdiri di hentian bas depan sekolah itu.

Mangsa adalah anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08 dan siasatan awal menunjukkan kejadian itu ada kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah sekitar Serdang.

Mengulas kemungkinan kementerian akan meminta polis memantau semua sekolah, Mahdzir berkata, tindakan itu tidak boleh dilakukan kerana kementerian mempunyai 10,200 sekolah di seluruh negara.

"Mungkin kita boleh minta kerjasama polis untuk kawal di kawasan hotspot," katanya.

294 dibaca
Berita Harian X