Jumaat, 2 March 2018 | 10:50pm
SIRHAJWAN Idek bergambar bersama piala serta sijil setelah memenangi Anugerah Award for Citizenship Global Educational Supplies and Solutions (GESS) di Dubai, setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

Kejayaan Sirhajwan membanggakan negara

KOTA KINABALU: Pencapaian guru kelahiran Kota Belud, Sirhajwan Idek, 30, melakar empat anugerah bertaraf antarabangsa termasuk yang terbaru di Dubai, kelmarin membuktikan guru di negara ini mampu mengangkat profesion perguruan negara ke tahap yang tinggi.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kejayaan beliau juga menunjukkan guru di negara ini mencapai tahap cemerlang yang membanggakan negara.

"Ini anugerahnya yang keempat, sebelum ini dia pernah dapat dua anugerah di London dan pada tahun lalu satu anugerah di Paris.

"Sebagai Menteri Pendidikan dan bagi pihak Kementerian Pendidikan saya mengucapkan tahniah kepada Sirhajwan.

"Ini menunjukkan guru di Malaysia juga cemerlang dan mampu mengangkat kerjaya ini ke persada antarabangsa," katanya selepas menyambut kepulangan Sirhajwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul.

Sirhajwan yang mengajar di Kolej Vokasional Keningau tiba di KKIA dari Kuala Lumpur jam 8.30 malam tadi turut disambut pelajar dan kakitangan kolej berkenaan selain ahli keluarganya.

Beliau memenangi Anugerah Award for Citizenship Global Educational Supplies and Solutions (GESS) yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, kelmarin kerana sumbangan beliau kepada komuniti melalui pendidikan.

Pada 22 September tahun lalu beliau mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris.

Sementara itu, Sirhajwan berkata, kemenangannya memberikan persepsi yang positif terhadap kerjaya guru di negara ini selain turut membuktikan guru di Malaysia juga memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing.

"Masyarakat kadang-kala melihat guru sebagai kerja yang tidak berprestij selain ada yang memandang negatif tetapi ia sebenarnya adalah kerjaya yang sangat menarik selain mulia.

"Bagi saya anugerah di Dubai itu seolah-olah saya menang anugerah Oscar. Di Paris pada tahun lalu, saya anggap kemenangan itu sebagai pingat emas Olimpik," katanya.

Katanya, sesiapa saja mampu mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan tanpa mengira latar belakang dan asal-usul individu.

"Saya berasal dari Kota Belud, Sabah tetapi saya boleh sampai hingga ke Dubai untuk menaikkan imej guru Malaysia. Ini menunjukkan bahawa tidak kira siapa kamu dan dari mana kamu datang, semua mampu mencipta sesuatu yang boleh dibanggakan," katanya.

811 dibaca
Berita Harian X