Selasa, 20 Februari 2018 | 2:47pm
BEKAS Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sia-sia cabar cadangan persempadan semula di mahkamah

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman, membuktikan usaha suruhanjaya itu selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata beliau yakin pihak yang tidak berpuas hati dengan cadangan persempadanan semula selepas draf dipamerkan untuk kali kedua tidak mampu mencabarnya di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha mencabar usul persempadanan semula di mahkamah bagi kawasan pilihan raya di Selangor adalah sia-sia berikutan keputusan muktamad dibuat di Parlimen dengan majoriti mudah kerana usul itu tidak membabitkan pertambahan kerusi.

Beliau berkata, tindakan SPR bukan berasaskan kepentingan politik, sebaliknya mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan bersandarkan kepada prinsip memudahkan pengundi dan pentadbiran sama ada di peringkat Pejabat Daerah mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya sangat yakin, apa pun yang dibawa ke mahkamah, SPR akan menang kerana perkara yang kita lakukan bukan berasaskan politik.

"Apa yang SPR lakukan adalah kehendak Perlembagaan Persekutuan supaya membuat pindaan persempadanan semula dalam masa tertentu, antaranya membabitkan pertambahan kerusi tetapi kali ini, SPR tidak membuat usul berkenaan kerana memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan cadangan SPR untuk melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel tiga hakim, dilaporkan berkata tindakan SPR berhubung urusan persempadanan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak, dan oleh itu tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, persempadanan semula dilaksanakan SPR sekurang-kurangnya setiap lapan tahun mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang termaktub dalam bidang kuasa SPR.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya, lebih 60 peratus cadangan atau bantahan diterima SPR dalam usaha menambah baik cadangan persempadanan semula.

"Bantahan hanya boleh dilakukan oleh pengundi di kawasan berkenaan beserta asas dan bukti yang kukuh.

"Ada kalanya pengundi membantah secara umum semata-mata, termasuk mempersoalkan kenapa kawasan mengundi ditukar hanya kerana wakil rakyat lama tidak bersetuju, sedangkan SPR tidak ada pertimbangan politik dalam hal ini," katanya.

Mengulas dakwaan pembangkang kononnya Kajian Persempadanan Semula menguntungkan Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz berkata kemenangan seseorang calon bukan bergantung kepada persempadanan semula, sebaliknya sokongan pengundi yang menentukannya.

"Jika itu yang didakwa, maka sepatutnya tidak ada satu kerusi pun pembangkang boleh menang, cuba teliti di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan yang dimenangi pembangkang dengan majoriti undi yang tinggi," katanya.

Sementara itu, menurut sumber SPR, Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Selangor kini diperingkat siasatan untuk kali kedua sebelum laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk membawa Kajian Semula Persempadanan itu ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan

"Jika ada pihak yang mahu mencabar syor SPR di mahkamah, itu terpulang kepada mereka, SPR tiada hak untuk menghalangnya," menurut sumber itu.

1881 dibaca
Berita Harian X