;
Sabtu, 17 Februari 2018 | 5:14pm
RIZAL Faris Mohideen. - Foto Halim Salleh
NAJIB bersalaman dengan orang ramai sewaktu hadir pada Majlis Santai Bersama Nelayan dan Perasmian Lampu Jalan Kampung TNB di Jeti Nelayan Kuala Chenang, Langkawi. - Foto Azhar Ramli
NAJIB bersalaman dengan orang ramai sewaktu hadir pada Majlis Santai Bersama Nelayan dan Perasmian Lampu Jalan Kampung TNB di Jeti Nelayan Kuala Chenang, Langkawi. - Foto Azhar Ramli

Rebut peluang ekonomi digital

LANGKAWI: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa komuniti perniagaan Melayu bangkit merebut peluang daripada revolusi ekonomi digital.

Presidennya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader, berkata usahawan Bumiputera tidak boleh terus terperangkap dalam kepompong lama dengan merasakan diri terpinggir, sebaliknya bangkit mencipta sejarah baharu demi masa depan.

Katanya, sepanjang enam dekad lalu, komuniti perniagaan Melayu mendapat pelbagai hasil daripada kemerdekaan negara tetapi data ekonomi menunjukkan jurang pendapatan dan kekayaan masih melebar.

"Dekad ini pula menyaksikan revolusi radikal dalam ekonomi, digitalisasi, perdagangan global dan teknologi di mana satu sentuhan jari boleh melunaskan transaksi perniagaan antara dua kutub dunia tanpa perlu terbang berjam-jam.

"Satu sentuhan jari juga mampu mengubah landskap politik negara atau mewujudkan konflik yang tidak diperlukan. Inilah bagaimana radikalnya dunia digital pada masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran GO 4.0 Langkawi 2018 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dataran Parkir, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot.

Rizal Faris berkata, peniaga Melayu perlu mendepani tuntutan zaman yang berubah untuk menjadi usahawan yang berani dan kompetitif serta bijak mengambil peluang dalam ekonomi digital.

"Perubahan teknologi ini berlaku seperti tsunami yang menghempas bumi Langkawi satu dekad lalu tanpa kita minta dan kerana itu ia dinamakan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).

"Ekonomi Digital dan Industri 4.0 tidak mengira sempadan dan ia berlaku di sini sama ada kita menerimanya atau tidak," katanya.

GO 4.0 yang diadakan selama dua hari bermula semalam, bertujuan meningkatkan kesedaran dan mendidik usahawan, pelajar, pegawai kerajaan dan orang awam mengenai cabaran dan peluang dibawa oleh Industri 4.0.

533 dibaca
Berita Harian X