Rabu, 14 Februari 2018 | 10:50pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di Majlis Makan Malam Ulang Tahun Persatuan Han Suah Hutan Melintang di Tokong Xian Fa Shi Gong, Hutan Melintang. - Foto Muhaizan Yahya

Kilang ikan tuna terbesar di Bagan Datuk

BAGAN DATUK: Sebuah kilang memproses ikan tuna yang terbesar di negara ini akan dibina di Bagan Hutan Melintang di sini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau sudah berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang bersetuju menyediakan tanah seluas lapan hektar untuk tujuan berkenaan.

"Jika kilang itu dibina nanti, ia akan menyediakan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan khususnya untuk penduduk Bagan Datuk dan Hutan Melintang," katanya berucap pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-35 Persatuan Han Suan Hutan Melintang di sini, sebentar tadi.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata kilang itu dibina di sini kerana nelayan Hutan Melintang diiktiraf antara pengeluar ikan terbesar di Malaysia.

Beliau berkata, 25 peratus daripada pengeluaran ikan di negara ini adalah datang dari Perak dengan sebahagian besarnya dari Hutan Melintang.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri maklum mengenai tiga bot nelayan bersama awak-awaknya dari Hutan Melintang ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 19 Januari lalu dan dibawa ke Langsa di Sumatera.

Sehubungan itu, beliau sudah meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk melakukan sesuatu bagi membebaskan mereka dan bot nelayan berkenaan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga akan meminta bantuan pihak di Indonesia untuk membantu, sebagaimana pernah dilakukan ketika membebaskan nelayan tempatan dari Sekinchan, Selangor, yang ditahan sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid akan mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyelesaikan isu anak yang lahir di luar perkahwinan tidak memperoleh MyKad dalam kalangan masyarakat Cina, khususnya di Bagan Datuk.

"Saya akan pastikan anak-anak ini diberi MyKad dan mendapat taraf kewarganegaraan agar mereka dapat mengambil peperiksaan (di sekolah)," katanya.

449 dibaca
Berita Harian X