Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:19pm
NAIB Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting

Tubuhkan juga mahkamah khas penagihan dadah

KUALA LUMPUR: Mahkamah khas bagi membicarakan kes penagihan dadah wajar diwujudkan susulan peningkatan masalah itu di Malaysia yang mencetuskan pelbagai implikasi dalam kalangan masyarakat.

Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, menyifatkan usaha mewujudkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes pemerdagangan manusia bertepatan dengan prinsip untuk tidak melengahkan keadilan kepada individu berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, pertimbangan sama harus diberikan terhadap kes penagihan dadah yang sehingga kini menyaksikan segelintir perbicaraannya masih tertangguh disebabkan pelbagai punca.

"Kes penagihan dadah terlalu banyak sehingga menyukarkan badan kehakiman untuk memproses setiap perbicaraan dalam tempoh yang diperuntukkan.

"Oleh itu, kerajaan harus memberi pertimbangan sewajarnya terhadap usaha menubuhkan mahkamah khas bagi mengendalikan perbicaraan kes penagihan dadah," katanya kepada BH, hari ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, semalam dilaporkan berkata mahkamah khas untuk mengendalikan kes pemerdagangan orang akan diwujudkan pertengahan tahun ini di Lembah Klang, sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Langkah itu seiring peningkatan mendadak bagi kes pemerdagangan orang, sekali gus menuntut langkah penyelesaian segera menerusi mahkamah dan hakim khas yang mengendalikannya.

Lam Thye berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) antara lain perlu memberikan pertimbangan bersesuaian dalam memperuntukkan penugasan kakitangan badan kehakiman di mahkamah khas yang bakal mengendalikan kes penagihan dadah.

"Ini pelaburan jangka panjang dalam memastikan setiap individu berkaitan yang terbabit dalam kes penagihan dadah diberikan keadilan secepat mungkin," katanya.

146 dibaca
Berita Harian X