Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:03pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Program Ramah Mesra Padu Bersama Masyarakat India DUN Rungkup sempena sambutan Ponggal di Batu 25, Bagan Datuk, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Program Ramah Mesra Padu Bersama Masyarakat India DUN Rungkup sempena sambutan Ponggal di Batu 25, Bagan Datuk, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Parti politik, NGO India perlu bersatu: TPM

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India bersatu agar sokongan masyarakat itu kepada kerajaan meningkat terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, sokongan padu masyarakat India terhadap kerajaan akan memudahkan lagi usaha membantu kaum itu khususnya menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB). 

"Pembangkang akan datang lima tahun sekali mengatakan semua yang dilakukan oleh kerajaan tidak baik. 

"Saya percaya walaupun pembangunan meningkat di Bagan Datuk dengan terbinanya MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), Kolej Komuniti, Politeknik, kompleks sukan, mereka akan tetap cakap ini tidak bagus," katanya pada Program Ramah Mesra Padu Bersama Masyarakat India DUN Rungkup sempena sambutan Ponggal di Batu 25 di sini hari ini. 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango. 

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata apabila pembangkang kembali ke tempat masing-masing, pemimpin daripada kerajaan yang akan ditemui untuk menyelesaikan masalah rakyat. 

Katanya, kerajaan akan terus berusaha membantu masyarakat India menerusi pelbagai cara dan ia boleh menjadi sukar jika mereka tidak bersatu hati dan berpecah belah. 

Beliau juga memberi contoh, apabila penduduk tidak berkemampuan untuk membeli kelengkapan persekolahan, kerajaan akan membantu mereka termasuk mendapatkan penaja daripada syarikat swasta untuk memberikan sumbangan. 

"Kenapa harus mendengar cakap pembangkang yang hanya datang lima tahun sekali dan mengatakan semua perkara tidak baik. 

"Kita (pemimpin kerajaan) tidak minta dipuji tetapi jangan mengutuk kerana kita bekerja untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

284 dibaca
Berita Harian X