Sabtu, 13 Januari 2018 | 5:57pm
SETIAUSAHA MCA Pulau Pinang, Ir Tang Heap Seng. - Foto Mikail Ong

Pulau Pinang bakal rugi RM410 juta

GEORGETOWN: Kerajaan negeri pimpinan DAP, didakwa menjadi punca kerugian sekurang-kurangnya RM410 juta, bakal dialami Pulau Pinang, ekoran pelaksanaan beberapa kajian berkaitan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya.

Setiausaha MCA Pulau Pinang, Ir Tang Heap Seng, berkata ia susulan kegagalan kerajaan negeri mengenakan klausa mengarahkan syarikat perunding memulangkan 30 peratus daripada nilai pemajuan tanah, sekiranya ia dibangunkan dengan kerjasama pihak ketiga.

Katanya, klausa terbabit adalah amalan yang diguna pakai terhadap mana-mana pemaju swasta yang dianugerahkan tender untuk membangunkan sebarang projek di atas tanah milik kerajaan negeri.

"Justifikasi kerugian sekurang-kurangnya RM410 juta ini terhasil daripada perkiraan membabitkan kepadatan pembinaan 156 unit bagi keluasan 0.4 hektar di atas dua lot tanah dikurniakan kepada syarikat perunding sebagai timbal balas bagi beberapa kajian projek mega berkenaan.

"Ia juga mengambil kira margin keuntungan 25 peratus dinyatakan syarikat perunding, dengan anggaran kasar seunit rumah yang dibina di atas tanah terbabit berkemungkinan dijual dengan harga serendah RM1.16 juta seunit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam kerajaan negeri dilapor meluluskan pertukaran kepadatan pembangunan daripada 30 kepada 156 unit bagi tanah berkeluasan 0.4 hektar, sejurus membuat pertukaran hak milik tanah terbabit kepada syarikat perunding.

Kerajaan negeri sebelum ini dilapor mengurniakan dua lot tanah berkeluasan 2.29 hektar di Tanjung Tokong, bagi membiayai kos beberapa kajian tiga lebuh raya yang bernilai RM208 juta.

Heap Seng berkata, kegagalan kerajaan negeri mengenakan klausa itu juga mungkin mengakibatkan Pulau Pinang terpaksa menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM507 juta, sejurus kajian kebolehlaksanaan bagi projek terowong dasar laut siap sepenuhnya.

"Kerugian ini antara lain akan dipantulkan dalam nilai keseluruhan beberapa kajian bagi projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang sekali gus meningkat kepada 655 peratus daripada nilai asal, RM305 juta," katanya.

585 dibaca
Berita Harian X