Khamis, 7 Disember 2017 | 9:31pm
ADHIF Syan Abdullah. - Foto Shazreen Zamzuri

Zaid perlu minta maaf pada Sultan Selangor

SHAH ALAM: Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor mahu ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim segera meminta maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung 'tweet' beliau terhadap Sultan Selangor.

Ketuanya, Adhif Syan Abdullah, berkata walaupun pihaknya menghargai niat Zaid mempertahankan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamed, beliau tidak sepatutnya menulis sesuatu yang mengelirukan orang ramai dan mempertikai niat di sebalik titah Sultan Selangor itu.

Beliau berkata, Pemuda PPBM Selangor menerima secara positif titah baginda agar parti politik seluruhnya mengelakkan daripada menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan sehingga boleh mengganggu keharmonian, khususnya di Selangor.

"Zaid atau mana-mana pemimpin parti politik harus meneliti titah Sultan dan mengamati serta mengambil iktibar.

"Kami juga ingin menasihati saudara Zaid agar menahan diri daripada mengulangi kesilapan sama pada masa hadapan. 

"Pemimpin Melayu mana-mana parti politik pun harus menunjukkan teladan baik serta menggunakan hemah ketika bercakap soal institusi Raja-Raja bertepatan prinsip Rukun Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adhif berkata, pihaknya juga akur dengan peringatan baginda agar mengekalkan keharmonian kaum dalam berpolitik seperti yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris ketika merujuk kepada isu 'lanun Bugis' yang dikeluarkan Dr Mahathir.

"Kami pasti Dr Mahathir tidak berniat menyakiti hati mana-mana pihak dan sudah tentu tidak dengan sengaja berlaku biadab atau mencemar nama baik Sultan Selangor. 

"Sebagaimana diketahui umum, beberapa laporan polis terhadap kenyataan Dr Mahathir dibuat (sebelum ini) dan polis juga sudah memulakan siasatan. 

"Pihak kami akan menghormati apa juga keputusan siasatan ini dan meminta agar orang ramai tidak terburu-buru menghakimi maksud sebenar kenyataan Dr Mahathir sehinggalah siasatan ini selesai," katanya.

Beliau berkata, Pemuda PPBM Selangor juga mahu isu itu diredakan melalui kaedah yang terbaik. 

"Ia perlu disegerakan agar pihak tidak bertanggungjawab tidak menggunakannya sebagai modal politik mereka sekali gus mengheret baginda ke dalam kancah politik partisan. 

"Kami rasa tiada keperluan memanjangkan isu ini sedangkan banyak isu membelenggu rakyat dan memerlukan lebih perhatian, seperti rasuah yang semakin berleluasa, kos sara hidup yang semakin tinggi, salah guna kuasa pemimpin," katanya.

Adhif berkata, Pemuda PPBM Selangor sudah menghubungi Zaid dan memintanya memohon maaf secara rasmi dan terbuka kepada Sultan Selangor.

2148 dibaca
Berita Harian X