Khamis, 7 Disember 2017 | 9:21pm
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir sempena Majlis Makan Malam sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Najib makan malam bersama perwakilan UMNO

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri jamuan makan malam bersama kira-kira 3,000 perwakilan UMNO, bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Tun Razak I, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Presiden UMNO itu yang segak berbaju batik, tiba jam 8.35 malam bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketibaan beliau disambut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sebaik tiba, Perdana Menteri meluangkan masa untuk bersalaman dengan tetamu yang hadir termasuk delegasi luar negara dan veteran UMNO.

Turut kelihatan pada majlis itu termasuk Bendahari UMNO yang juga Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Kumpulan penari Istana Budaya tampil membuka persembahan dengan Tarian Gitar Gangsa, sebelum disusuli dendangan lagu oleh bintang radio terkenal era 60-an, R Ismail.

Majlis turut diserikan dengan persembahan beberapa artis baharu termasuk Wany Hasrita yang mendendangkan lagi popularnya, Menahan Rindu.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 berlangsung selama lima hari bermula Isnin lalu dan akan berakhir pada Sabtu ini.

275 dibaca
Berita Harian X