Selasa, 7 November 2017 | 8:42am
KEADAAN empat buah rumah yang musnah dalam kebakaran yang mengorbankan lima mangsa dan seorang melecur teruk dekat Kampung Baru Sungai Gelugur, Taman Petani Jaya, awal pagi tadi. - Foto Omar Osman

5 sekeluarga rentung, 1 melecur teruk

SUNGAI PETANI: Lima sekeluarga rentung dalam kebakaran empat rumah di Taman Petani Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 4 pagi di Kampung Baru Sungai Gelugor di Taman Petani, membabitkan sederet empat rumah papan yang didiami lebih 20 penghuni .

Berdasarkan maklumat, mayat wanita ditemui di hadapan pintu salah sebuah rumah yang rentung, manakala empat ahli keluarganya yang lain ditemui rentung di bahagian dalam bilik.

Warga yang melecur pula berjaya diselamatkan orang ramai selepas keluar dari rumah.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mazukhi Shaffie, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 4.11 pagi, sebelum tiga jentera dan dua EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Tikam Batu dikejarkan ke lokasi bersama 20 pegawai dan anggota.

Katanya, pihaknya mengambil masa 12 minit untuk mengawal api dari merebak ke rumah yang lain dan api dapat dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian.

"Setakat ini lima mangsa disahkan rentung dan seorang melecur dan kita masih melakukan pemeriksaan di lokasi untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Lima mangsa yang rentung dalam kebakaran di Kampung Baru Sungai Gelugor di Taman Petani Jaya, di sini, serta seorang lagi melecur disahkan sebagai warga Indonesia.

Bagaimanapun status semua mangsa yang serta identiti sebenar mereka masih belum disahkan. Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda, berkata sehingga kini lima yang maut termasuk pasangan suami isteri dikenali sebagai Mad kholel Tubat, 40 dan Ume, 35.

Tiga lagi mangsa yang rentung ialah remaja lelaki berusia 17 tahun dikenali Misbahul Anwar, warga emas, Tobiyyah, 67 dan Habi, 40.

Berdasarkan maklumat mayat Mad Kholel dan Ume dikatakan ditemui rentung dalam keadaan bertindih, di bilik belakang dengan mayat Misbahul Anwar pula kira-kira satu meter dari mereka.

Dua lagi mayat iaitu Habi ditemui di bilik depan, manakala Tobiyyah ditemui rentung di pintu hadapan rumah.Mangsa yang parah akibat melecur 70 peratus anggita badan ditemui di hadapan rumah dikenali sebagai Samsul, 40, juga warga Indonesia.

Abdul Razak berkata sehingga kini punca kebakaran memusnahkan empat rumah sederet itu masih disiasat, namun tidak menolak kemungkinan mangsa terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.

3412 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »