Ahad, 5 November 2017 | 7:11pm
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Melaka siap siaga hadapi kemungkinan banjir kilat

bhnews@bh.com.my

AYER KEROH: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengarahkan semua agensi keselamatan di negeri ini bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan kejadian banjir kilat di negeri ini.

Beliau berkata, walaupun setakat ini kejadian terbabit tidak berlaku, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh agensi berkenaan.

"Alhamdulillah, meskipun hujan lebat melanda Melaka sejak beberapa hari lalu, namun tiada kejadian banjir kilat yang serius berlaku di negeri ini.

"Kita berdoa semoga rakyat Melaka dijauhkan daripada sebarang musibah," katanya selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sesi ketiga, sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob ke-79, di Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.

Idris turut memuji tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tetap 'melayan' rayuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung kejadian banjir di negeri terbabit.

Katanya, meskipun sering 'diserang' oleh pemimpin DAP berkenaan, ia sedikit pun tidak membataskan keprihatinan kerajaan Persekutuan kepada rakyat Pulau Pinang.

Sementara itu, isteri Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Puan Sri Faridah Begum KA Abdul Kader mengetuai 577 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri.

Beliau menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Menerima darjah yang sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Razali Ibrahim dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Wira Ahmad Jazlan Yaakub.

Beberapa pengamal media turut menerima anugerah kebesaran negeri. Mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Times Sdn Bhd, Datuk Anbumani Balan yang menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk.

Ketua Pegawai Operasi Melaka Hari Ini (MHI), Ishak Dalip menerima Darjah Seri Melaka (DSM), diikuti Pengarang MHI, Ishak Mohamed Salleh; Ketua Biro Harian Metro Melaka, Salman Hamat dan jurukamera portal KL Express, Rozairi Abdul Rahman yang masing-masing dianugerahkan Bintang Khidmat Terpuji (BKT).

Jurukamera sambilan TV3, Mohd Zaidi Yaacob pula dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK), manakala wartawan Utusan Malaysia, Mohd Fadzly Mohd Izab menerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM).

423 dibaca
Berita Harian X