Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:21pm
TAN Sri Dr Aseh Che Mat (tengah) bergambar bersema dengan penerima kerusi roda, M Yasotha yang mengidap penyakit Stroke (kanan) dan P Maran (kencing manis), sempena Majlis Penyerahan Faedah PERKESO kepada orang berinsuran sempena Sambutan Deepavali 2017 di Wisma PERKESO, turut hadir Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed. - Foto Yazit Razali

PERKESO sedia bantuan kewangan selama enam bulan

KUALA LUMPUR: Mereka yang kehilangan pekerjaan layak mendapat bantuan kewangan selama enam bulan menerusi manfaat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia, bermula Januari depan.

Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Tan Sri Dr Aseh Che Mat, berkata bantuan kewangan enam bulan itu diberikan antara 30 hingga 80 peratus dari gaji terakhir diterima diterima sebelum diberhentikan, bermula daripada bulan pertamanya kehilangan pekerjaan.

Menerusi manfaat SIP itu, bantuan kewangan diberikan sebanyak 80 peratus selepas bulan pertama diberhentikan, 50 peratus pada bulan kedua, 40 peratus (bulan ketiga dan keempat) dan 30 peratus lagi untuk bulan kelima dan keenam.

"Bagaimanapun bantuan kewangan ini hanya layak kepada mereka hilang pekerjaan akibat pemberhentian pekerja, pengecilan syarikat dan bukan bagi mereka mempunyai masalah disiplin.

"Ini sebagai galakan kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan baharu, menampung keperluan dan pekerjaan yang dilihat satu usaha murni menerusi nilai caruman yang sedikit tetapi manfaatnya besar, terutama terbabit dengan musibah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Deepavali PERKESO yang memberikan sumbangan perayaan dan peralatan pemulihan kepada 88 ibu tunggal, anak yatim dan penjaganya di Wisma PERKESO, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.  

Dr Aseh berkata, setakat ini PERKESO Kuala Lumpur membelanjakan sebanyak RM66.7 juta untuk mengendalikan 8,999 kes seperti faedah seperti hilang upaya kekal, hilang upaya sementara, faedah orang tanggungan dan sebagainya.

"Bilangan majikan aktif yang mencarum adalah seramai 88,920 majikan, 1.53 juta pekerja dilindungi dan dengan jumlah caruman sebanyak RM486 juta diperoleh bagi tahun ini.

"Program sebegini satu inisiatif mendekati pencarum dan keluarga dalam membina imej organisasi yang bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja.

"Dalam usaha ini PERKESO memberi perlindungan menyeluruh dan penambahbaikan seperti perluasan liputan kepada semua pekerja bergaji maksimum RM4,000 pada 2016 serta memperkenalkan Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerja Pekerjaan Sendiri untuk pemandu teksi dan perkhidmatan seumpamanya pada Jun lalu," katanya.

Sementara itu, bekas pekerja perkhidmatan jualan tiket, M Yasotha, 41, dari Cheras, berkata beliau hilang keupayaan kekal pada 2014 dan adalah penerima faedah PERKESO.

"Saya menderita penyakit angin ahmar dan pengsan di hadapan rumah berikutan serangan darah tinggi megakibatkan lumpuh sebelah badan.

"Saya bersyukur terus menerima bantuan seumur hidup dan berterima kasih kepada organisasi ini terus peka dengan keperluan perubatan termasuk kali ini memberikan bantuan kerusi roda dan lain-lain," katanya.

578 dibaca
Berita Harian X