Khamis, 12 Oktober 2017 | 6:55pm
PENASIHAT Keselamatan Amerika Syarikat, Leftenan Jeneral H.R. Macmaster menjadi tetamu kehormat kepada satu majlis makan tengahari yang di anjurkan oleh Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Duta Malaysia terima kunjungan Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR: Isu kerjasama keselamatan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan ASEAN, menjadi inti pati perbincangan Penasihat Keselamatan AS, Leftenan Jeneral H R Macmaster, dengan wakil negara ASEAN di Kedutaan Malaysia di Washington, semalam.

Mereka mengadakan pertemuan itu ketika satu majlis makan tengah hari anjuran Kedutaan Malaysia di Washington.

Selain itu, Macmaster turut membincangkan isu keselamatan rantau ASEAN yang dikongsi bersama seperti krisis di Semenanjung Korea dan Laut China Selatan.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique, yang juga Pengerusi Jawatankuasa ASEAN di Washington, berkata turut dibincangkan mengenai lawatan Presiden Donald Trump ke Asia Tenggara, yang dijadualkan pada November ini.

Macmaster menjadi tetamu kehormat majlis makan tengah hari itu yang turut disertai Pengarah Hal Ehwal Asia Tenggara dan ASEAN ke Majlis Keselamatan AS, Brenan Richards.

Perjumpaan dan perbincangan secara terus oleh Macmaster dengan duta-duta negara ASEAN itu, menyerlahkan peningkatan kepentingan rantau ini kepada kerajaan AS.

Sebelum ini, beberapa pemimpin ASEAN seperti Vietnam, Malaysia dan Filipina, sudah melakukan lawatan ke AS, bagi mengeratkan hubungan dengan negara itu. Pemimpin Singapura dijangka melakukan lawatan ke AS pada hujung bulan ini.

Jawatankuasa ASEAN di Washington DC (ACW) dianggotai duta daripada negara ASEAN yang antara lain berperanan meningkatkan kepentingan bersama dan identiti ASEAN di AS yang menjadi landasan bagi komunikasi, hubungan dan kerjasama di antara ASEAN dan AS.

225 dibaca
Berita Harian X