Khamis, 12 Oktober 2017 | 5:27pm
DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu (kiri) dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N.Lorenza (kanan) pada Majlis Pelancaran Trilateral Air Patrol 2017 Malaysia, Indonesia dan Filipina di Pangkalan Udara Subang.- Foto Luqman Hakim Zubir
DEMONSTRASI Tentera Udara Diraja Malaysia pada Majlis Pelancaran Trilateral Air Patrol 2017 Malaysia, Indonesia dan Filipina di Pangkalan Udara Subang. - Foto Luqman Hakim Zubir
Demostrasi Tentera Udara DiRaja Malaysia pada Majlis Pelancaran Trilateral Air Patrol 2017 Malaysia, Indonesia dan Filipina di Pangkalan Udara Subang. - Foto Luqman Hakim Zubir

3 negara mulakan pemantauan keselamatan udara

SUBANG: Malaysia, Filipina dan Indonesia setuju memulakan operasi pemantauan udara secara bersama mulai hari ini menerusi kerjasama di bawah inisiatif Trilateral Air Patrol (TAP) 2017.

Ia adalah pendekatan kerjasama pertahanan kedua yang dilakukan tiga negara ASEAN itu, dengan usaha sama sebelum ini dibuat menerusi Trilateral Maritime Patrol (TMP), berfokus kepada pemantauan di kawasan perairan.

Pelancaran secara rasmi TAP 2017 dibuat hari ini bertempat di Pangkalan Udara Subang, di sini disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin dalam ucapannya menjelaskan, rondaan udara itu akan dilakukan setiap bulan secara bergilir dengan penugasan pertama dijadual dimulakan bulan depan, dengan tugasan rondaan nanti turut disertai wakil dari ketiga-tiga negara.

Beliau berkata, pemantauan akan bertumpu di perairan Lautan Sulu, iaitu kira-kira sepanjang 1,700 batu nautika persegi merangkumi perairan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

"Penjadualan tugasan pertama ini akan dimulakan dengan Malaysia menerusi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), seterusnya Tentera Udara Filipina dan Tentera Udara Indonesia.

"Malaysia akan mengetuai semula tugasan sama pada tahun depan," katanya turut menjelaskan TAP 2017 juga dilaksana bagi mengukuhkan kerjasama pertahanan ASEAN dalam memerangi pengaruh DAESH.

Beliau berkata, menerusi kerjasama ini juga, ketiga-tiga negara dapat berkongsi maklumat risikan dan komunikasi, seperti mana yang dilakukan menerusi TMP yang menempatkan tiga pusat kawalan di Tarakan, Indonesia; Tawau, Sabah serta Bongau di Filipina.

Turut sama hadir pada majlis pelancaran itu, Menteri Pertahanan Indonesia, General Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N Lorenzana serta Panglima ATM, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sementara itu, pada sidang media selepas itu, Hishammuddin berkata, inisiatif itu akan dilaksana hingga semua negara berpuas hati dengan tahap keselamatan di Laut Sulu dan perairan sekitarnya.

Beliau juga menjelaskan, tiga negara ASEAN yang sudah memulakan TAP 2017 terbuka untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan udara dengan negara anggota lain termasuk Brunei dan Singapura.

"Perkara ini akan kita bincang dan perhalusi menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dijadual berlangsung di Filipina, bulan depan," katanya.

Sementara itu, Ryamizard berkata, beliau turut menerima surat permohonan daripada China, Amerika Syarikat serta Australia yang menyatakan minat untuk bersama dalam operasi itu, namun ia perlu dirujuk terlebih dulu tiga negara serta rakan ADMM, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Delfin pula menjelaskan, pemantauan udara itu membantu negara terbabit meningkatkan tahap keselamatan di perairan mereka, disamping membantu mengurangkan ketegangan keselamatan di bandar Marawi, yang sebelum ini bergolak ekoran tindakan DAESH.

Pemantauan udara ini akan menggunakan beberapa aset udara antaranya pesawat Charlie C130 serta CN 259M, dengan masa penugasan selama tiga hingga lima jam.

460 dibaca
Berita Harian X