Khamis, 12 Oktober 2017 | 5:20pm
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat kerja membaik pulih komputer selepas pelancarkan MARA DIGITAL@IPOH di Bazar Mara Medan Jaya hari ini. Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Awang Adek Hussin (kiri). - Foto BERNAMA

4 lagi lokasi MARA Digital baharu dikenal pasti

IPOH: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sudah mengenal pasti empat lagi lokasi di empat negeri yang akan dijadikan pusat jualan gajet dan peralatan teknologi maklumat (IT) milik Bumiputera, MARA Digital.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata empat lokasi itu terletak di Johor, Melaka, Terengganu dan Kelantan, dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di negeri terbabit sedang berunding dengan peniaga berkaitan.

"Ketika ini, kita sudah mempunyai empat premis MARA Digital iaitu yang pertama dibuka di Menara MARA Kuala Lumpur yang dibuka pada tahun 2015, serta di Anggerik Mall, Shah Alam, Selangor pada tahun lalu.

"Hari ini dibuka di sini, kemudian di Kuantan, Pahang, yang akan mula beroperasi pada 26 Oktober ini," katanya selepas melancarkan MARA Digital@Ipoh sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsuddin Abu Hassan serta Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

MARA Digital@Ipoh di Bazar Medan Jaya di Jalan Leong Boon Swee di sini mempunyai lima kedai dan 15 kios bagi menjual pelbagai produk IT dan gajet tulen serta perkhidmatan memperbaiki peralatan komputer dan gajet, yang dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam. 

Ismail Sabri berkata, semua peniaga di premis berkenaan tidak perlu membayar sewa premis selama enam bulan bermula hari ini.

Beliau juga menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya produk dan perkhidmatan dijual di MARA Digital lebih mahal berbanding premis lain serta kurang menerima kunjungan pembeli.

Katanya, MARA Digital Kuala Lumpur boleh dijadikan kayu pengukur kejayaan apabila menerima satu juta pengunjung dan jualan melebihi RM18 juta sepanjang tahun lalu manakala setakat lapan bulan pertama tahun ini sudah menerima 585,580 pengunjung dengan hasil jualan melebihi RM7.6 juta.

"Apa yang lebih utama ialah MARA Digital menawarkan produk tulen dan kita tidak menjual lebih mahal daripada tempat lain manakala peniaganya lebih jujur serta tidak memaksa pengunjung membeli produk mereka dengan pembeli pula tidak merasa ditipu.

"Kita ada Jawatankuasa MARA Digital dengan melantik wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memastikan ketulenan produk yang dijual manakala peniaga sudah diberi amaran bahawa mereka akan dikeluarkan daripada premis ini jika didapati tidak menjual produk tulen," katanya.

Ismail Sabri berkata, pembukaan MARA Digital adalah tanggungjawab MARA bagi memastikan orang Melayu dan Bumiputera tidak hanya menjadi pengguna gajet dan produk IT sebaliknya harus menjadi usahawan produk berkenaan dengan sasaran akan datang bukan sekadar menjadi peniaga sahaja tetapi turut menjadi pengedar produk berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mahu lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera menjadi usahawan serta peniaga gajet dan peralatan IT kerana hingga kini 62 peratus pengguna produk berkenaan adalah kaum Melayu. 

INFO

4 premis dibuka:

* Kuala Lumpur, Shah Alam, Ipoh dan Kuantan (26 Oktober)

4 premis sudah dikenal pasti:

* Johor, Melaka, Terengganu dan Kelantan.

272 dibaca
Berita Harian X