Rabu, 13 September 2017 | 7:26pm
ANTARA aktiviti untuk kanak-kanak yang diadakan pada Hari Hasanah

Hari Hasanah pupuk semangat berbudi bersama

KUALA LUMPUR:Sambutan julung kali Hari Hasanah pada 4 September lalu menyaksikan kejituan rakyat Malaysia melakukan pelbagai amalan kebaikan dan kebajikan dalam skala besar.

Hari Hasanah yang diperkenalkan Yayasan Hasanah itu adalah inisiatif bagi mengajak masyarakat melakukan amalan kebajikan tanpa mengira perbezaan kaum dan agama serta jenis amalan dilakukan.

Pada hari terbabit, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir merasmikan program itu di Taman Tugu sebelum melawat ke PPR Seri Semarak bagi sesi ramah mesra bersama masyarakat.

Perdana Menteri juga turut merasmikan dua gelanggang Futsal Cruyff Court di PPR Seri Semarak dan PPR Kampung Baru Air Panas yang disumbangkan menerusi kerjasama Yayasan Hasanah dan Yayasan Johan Cruyff.


NAJIB menandatangani perasmian dua gelanggang futsal Cruyff Court di PPR Seri Semarak dan PPR Kampung Baru Air Panas pada majlis bersama Perdana Menteri sempena Hari Hasanah.

Beberapa rakan strategik Yayasan Hasanah yang terbabit dalam sambutan Hari Hasanah berpendapat ia adalah acara terbaik dalam usaha mendekati masyarakat.

Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Datuk Dr Raj Abdul Karim, berkata pembabitan mereka dalam acara berkenaan menjadi platform terbaik untuk badan bukan kerajaan (NGO) itu memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

Program amat berjaya

"Saya melihat Hari Hasanah amat berjaya dan mencapai matlamatnya kerana ia adalah hari untuk kita berbuat amal kebajikan.

"MKKM juga dapat menyalurkan maklumat dan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat, malah acara ini kita dapat mendedahkan kepada umum berhubung peranan kami," katanya.


DATUK Dr Raj Abdul Karim

Dr Raj berkata, pada acara itu, pihaknya turut menjalankan kajian menerusi edaran borang soal selidik berhubung isu berkaitan kanak-kanak seperti penderaan, pendidikan dan keganasan rumah tangga.

Beliau berkata, MKKM amat positif menjalinkan kerjasama bersama Yayasan Hasanah, selain merancang pelbagai program bersama yayasan itu untuk dilakukan pada masa depan.

Lebih 4,000 pengunjung hadir ke acara sambutan Hari Hasanah di Dataran PPR Seri Semarak.

Pelbagai acara berlangsung membabitkan rakan strategi Yayasan Hasanah dan pihak luar yang menawarkan perkhidmatan secara percuma seperti khidmat kaunseling, bengkel menjahit dan khidmat mendandan rambut.

Selain itu, sambutan itu turut membantu masyarakat mengenal pasti NGO dan jenis khidmat bantuan yang ditawarkan mereka.

Perkara itu diakui wakil Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO),Vaneezha M yang teruja apabila NGO itu berjaya mendekati golongan wanita yang memerlukan bantuan.


ANTARA pengunjung yang hadir ke program Hari Hasanah yang julung kali diadakan.- Foto Nurul Shafina Jemenon

"Hari ini kami berjaya mendekati dan membantu golongan wanita di kawasan ini. Acara ini membuka peluang kepada kami memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Perkhidmatan WAO

"Ramai wanita yang ditemui tidak tahu kepada siapa mereka boleh meminta bantuan, namun dengan acara pada Hari Hasanah ini, mereka terdedah dengan perkhidmatan yang WAO sediakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah , Shahira Ahmed Bazari berkata, pihaknya teruja dengan sambutan yang diterima.

"Ini sambutan julung kali Hari Hasanah dan kita amat bersyukur dengan maklum balas menggalakkan daripada orang ramai terhadap majlis ini.

"Kami berharap Hari Hasanah dapat diterima masyarakat dan merancang ia akan disambut pada setiap Sabtu ketiga pada September setiap tahun untuk terus membudayakan semangat berbudi bersama dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

81 dibaca
Berita Harian X