Selasa, 12 September 2017 | 6:45pm
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Manfaatkan stem sel untuk atasi diabetes

KUALA LUMPUR: Penyelidikan terperinci dan percubaan klinikal ke atas manfaat stem sel perlu giat dijalankan oleh penyelidik bagi mengatasi penyakit kronik, khususnya diabetes yang semakin meningkat di negara ini.

Penyelidikan itu penting berdasarkan peningkatan jumlah penghidap diabetes dalam kalangan rakyat negara ini.

Statistik daripada Kajian Kesihatan Kebangsaan & Morbiditi 2015, menunjukkan 17.5 peratus daripada penduduk negara ini yang berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes atau kencing manis.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata aplikasi stem sel atau dikenali juga sel tunjang berpotensi menghasilkan insulin dan menggantikan sel pankreas yang tidak berfungsi dengan baik.

"Keupayaan stem sel ini menyebabkan pakar perubatan tidak mahu melepaskan peluang untuk mengkaji potensi yang ada serta memanupulasikan keupayaan sel stem sebagai intervensi bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

"Pada tahun 2008, Kabinet meluluskan RM33 juta bagi mengukuhkan lagi perkhidmatan sel stem dan bank darah tali pusat membabitkan naik taraf makmal sel stem di Institut Penyelidikan Perubatan, pengukuhan tabung darah tali pusat di Pusat Darah Negara dan Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan Pusat Transplantasi Stem Sel Hospital Ampang," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Penyelidikan dan Sokongan Teknikal, Datuk Dr Sharnaz Murad pada Majlis Perasmian Forum Umum Ke-4 Pusat Terapi Sel Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM), hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Roslina Abdul Manap; Pengarah Institut Perubatan Molekul UKM, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal dan Ketua Pusat Terapi Sel PPUKM, Prof Dr S Fadilah Abdul Wahid.

849 dibaca
Berita Harian X