Selasa, 5 September 2017 | 3:09pm

Atasi isu lambakan graduan perubatan


JPA perlu menyemak semula skim dan struktur gaji profesional kesihatan bagi mengelak masalah kehilangan tenaga mahir ke luar negara atau 'brain drain'. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lantikan pegawai perubatan secara kontrak yang dilaksanakan kerajaan sejak Disember tahun lalu, didakwa belum menyelesaikan sepenuhnya isu lambakan graduan perubatan di negara ini, yang kini mencapai kira-kira 5,000 orang setiap tahun.

Malah, lebih 2,000 daripada mereka, dijangka menganggur setiap tahun dalam tempoh empat tahun lagi, kerana berdasarkan perjawatan pegawai perubatan sedia ada, kerajaan hanya mampu menyerap kira-kira 50 peratus ke dalam perkhidmatan tetap selepas masing-masing menamatkan kontrak.

Situasi mencabar

Pada masa sama, doktor yang tidak diserap ke jawatan tetap, sukar mendapatkan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan swasta, khususnya klinik persendirian, yang kini berdepan situasi mencabar dengan menyaksikan banyak yang ditutup akibat saingan tinggi serta peningkatan kos operasi termasuk harga ubat.

Berdasarkan kajian, lebih 500 klinik persendirian ditutup sepanjang 2015 dan fenomena itu didakwa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) semakin meningkat sejak awal tahun ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Ravindran R Naidu, berkata susulan situasi itu, MMA menyarankan jumlah graduan perubatan negara ini, sama ada lulusan tempatan atau luar negara dihadkan kepada 3,000 setiap tahun, berbanding kira-kira 5,000 graduan yang dilahirkan ketika ini.

Melebihi permintaan

"Suatu ketika dahulu, jumlah doktor dikatakan tidak mencukupi sehingga banyak kolej dan fakulti perubatan dibuka dan ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara.

"Langkah terburu-buru ini menyebabkan bilangan mereka melebihi permintaan, apabila kira-kira 4,200 graduan perubatan dikeluarkan daripada 42 universiti dan kolej perubatan tempatan, di samping lebih 1000 lulusan perubatan luar negara, setiap tahun," katanya ketika ditemui BH, di sini.

Beliau berkata, lambakan yang dialami kini menyebabkan graduan perubatan terpaksa menunggu giliran sehingga setahun, sebelum berpeluang memulakan latihan perubatan 'housemanship' di hospital kerajaan.

"Justeru, kementerian perlu mencari penyelesaian yang memanfaatkan industri perubatan, sekali gus mengurangkan lambakan doktor yang dijangka berlaku ini," katanya.

Dr Ravindran menegaskan yang MMA tidak menentang langkah Kementerian Kesihatan melaksanakan pelantikan secara kontrak bagi mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan graduan perubatan tetapi ia perlu seiring dengan jumlah graduan sedia ada.

"Memang benar, langkah kementerian itu bagi memastikan hanya yang terbaik akan diserap dalam perkhidmatan awam. Namun bagaimana dengan nasib graduan selebihnya?" katanya.


KEHADIRAN Klinik 1Malaysia antara cabaran yang diterima klinik persendirian. - Foto fail NSTP/Aswadi Alias

Jumlah klinik swasta ditutup meningkat

Peluang pegawai perubatan berkhidmat dengan sektor swasta selepas menamatkan perkhidmatan wajib dengan hospital kerajaan, didakwa akan semakin sukar, susulan peningkatan bilangan klinik swasta yang ditutup sejak dua tahun lalu.

Selain kos operasi klinik persendirian yang semakin tinggi kerana peningkatan harga ubat, bilangan pesakit diterima juga semakin berkurangan ekoran saingan sesama klinik serta pertambahan kemudahan kesihatan disediakan kerajaan, khususnya Klinik 1Malaysia (K1M) yang dibuka sehingga jam 10 malam setiap hari.

Kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendapati, sepanjang 2015, sekurang-kurangnya 500 klinik persendirian ditutup kerana faktor terbabit.

Berdasarkan perkembangan semasa, MMA mendedahkan keadaan makin memburuk sepanjang tahun ini, sekali gus menjejaskan peluang pegawai perubatan berkhidmat dengan klinik persendirian selepas tamat khidmat wajib.

Malah, Kajian Landskap Pengamal Perubatan oleh MMA yang membabitkan 1,800 pemilik klinik persendirian, mendapati kira-kira 70 peratus klinik kini menerima tidak sampai 30 pesakit sehari, jumlah yang merugikan operasi mereka.

Lebih membimbangkan, hanya 15 peratus klinik sahaja yang dapat menjalankan perniagaan mereka dengan baik dan menguntungkan.

Presiden MMA, Dr Ravindran R Naidu, berkata sebelum ini jarang berlaku klinik swasta ditutup operasinya, sebaliknya hanya dijual atau dikendalikan doktor lain.

Katanya, senario semasa menunjukkan profesion doktor sebenarnya tidak lagi mampu mendatangkan pendapatan tinggi seperti disangka ramai orang.

Bekerja sambilan

"Selepas menutup klinik mereka, ada sebahagian doktor terpaksa bekerja sambilan di klinik lain, tidak kurang juga terpaksa menukar profesion.

"Selain saingan hebat, keadaan ekonomi yang tidak menentu serta pertambahan klinik kesihatan kerajaan termasuk Klinik 1Malaysia (K1M), kebanyakannya terpaksa menamatkan perniagaan mereka kerana kos perubatan meningkat sebanyak 20 peratus dalam tempoh setahun," katanya.

Beliau berkata, jumlah untuk bayaran perubatan bukanlah terletak pada doktor sebalik perlu bergantung pada pasaran kerana harga barangan seperti ubat-ubatan dan alat perubatan sudah meningkat.

INFO
Pelantikan pegawai perubatan secara kontrak

  • Bermula Disember 2016
  • Maksimum 5 tahun
  • Lebih 2,000 doktor dijangka menganggur 2021.
  • 42 universiti dan kolej tempatan tawarkan kursus perubatan.
  • 1,000 graduan perubatan luar negara tajaan dan persendirian setahun.
  • Anggaran 5,000 graduan perubatan dilahirkan setiap tahun.
  • 6-12 bulan tempoh graduan perubatan menunggu untuk latihan perubatan.
6952 dibaca
Berita Harian X