Sabtu, 26 Ogos 2017 | 2:22pm
ANTARA aset Tentera Laut Diraja Malaysia yang digunakan dalam Carilamat sembilan anak kapal USS John S McCain selepas berlaku pelanggaran di perairan Teluk Ramonia, Tanjung Pengelih, Johor. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Malaysia terus bantu cari anak kapal AS

KLUANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anak kapal USS John S McCain, kapal perang pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) diteruskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mencari mangsa yang masih hilang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata operasi itu diteruskan atas dasar persahabatan antara negara dan konteks diplomasi pertahanan.

"Kabinet bersetuju untuk TLDM meneruskan SAR sehingga semua mangsa tragedi ini dapat dikenal pasti.

"Sewaktu kita ditimpa tragedi membabitkan MH370 dan MH17 dahulu, sebanyak 26 negara menghulurkan bantuan dan ketika itu kita tiada aset yang canggih.

"Apabila mereka berdepan insiden seperti ini, tiada sebab kita mengecualikan diri daripada membantu mereka," katanya kepada media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, di sini, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menangguhkan operasi SAR anak kapal USS John S McCain yang dilaporkan hilang selepas berlanggar dengan kapal MV Alnic MC, Isnin lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkifili Abu Bakar, berkata, operasi ditangguhkan susulan hasrat Hal Ehwal Awam Armada Ketujuh 7 Tentera Laut Amerika menangguhkan sementara operasi mencari di laut bagi menumpukan usaha pencarian di dalam kapal terbabit.

472 dibaca
Berita Harian X