Isnin, 14 Ogos 2017 | 2:00pm
BERMULA jam 12 tengah hari tadi, keseluruhan plaza tol Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1 dan LPT 2) menggunakan sistem bayaran elektronik sepenuhnya. - - Foto Nazirul Roselan
BERMULA jam 12 tengah hari tadi, keseluruhan plaza tol Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1 dan LPT 2) menggunakan sistem bayaran elektronik sepenuhnya. - - Foto Nazirul Roselan
BERMULA jam 12 tengah hari tadi, keseluruhan plaza tol Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1 dan LPT 2) menggunakan sistem bayaran elektronik sepenuhnya. - - Foto Nazirul Roselan

Kutipan tol elektronik sepenuhnya di LPT

BENTONG: Semua 19 plaza tol di Lebuh raya Pantai Timur (LPT) memulakan kutipan tol elektronik (ETC) mulai 12 tengah hari tadi.

Tiada transaksi tunai di sembilan Plaza Tol di LPT1 iaitu Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Srijaya, Gambang, Kuantan dan Jabor serta 10 lagi plaza tol di LPT2 iaitu Cheneh, Chukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh berkata, menerusi pelaksanaan sistem berkenaan, pengguna lebuh raya berkenaan perlu menggunakan kad Touch 'n Go dan Smart Tag bagi transaksi bayaran tol.

Katanya, ANIH Berhad, syarikat konsesi LPT1 turut menempatkan kakitangan di laluan tol bagi membantu pengguna jika menghadapi masalah melaksanakan transaksi pembayaran tol.

"ANIH Berhad turut menyediakan kios layan diri di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Temerloh dan R&R Gambang bagi membolehkan pengguna yang berhenti rehat membeli atau menambah nilai kad Touch 'n Go mereka.

"Pengguna boleh membeli atau menambah nilai di tiga Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di sepanjang LPT1 iaitu di Plaza Tol Karak, Plaza Tol Temerloh dan Plaza Tol Kuantan setiap hari mulai jam 7 pagi hingga 10 malam," katanya pada sidang media pelancaran ETC di LPT di Plaza Tol Karak di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein.

Ismail berkata, pihaknya yakin pengguna dari Pahang, Terengganu dan Kelantan yang berulang-alik menggunakan LPT sejauh 357.9 kilometer sudah bersedia dengan sistem yang dipakai di 158 plaza tol di seluruh negara.

Katanya, penggunaan ETC akan melancarkan perjalanan kenderaan dari Pantai Timur ke Lembah Klang, sekali gus mengurangkan kesesakan terutama pada musim perayaan.

"Kita dapati penggunaan ETC di 158 plaza tol di 31 lebuh raya di seluruh negara berjaya mengurangkan 15 hingga 20 peratus kesesakan lalu lintas.

"Mengikut kajian penggunaan tunai mengambil masa 15 saat bagi satu kenderaan atau 240 kenderaan sejam tetapi penggunaan kad Touch n Go hanya enam saat (600 kenderaan sejam) dan SmartTAG pula tiga saat (1,000 kenderaan sejam)," katanya.

656 dibaca
Berita Harian X