Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:11pm
PESERTA bermain bola dalam Sukan Rakyat dan Fiesta Berbendang di Parit Air Hitam anjuran Najib Razak Club (NRC) 11 dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan,swasta dan badan bukan kerajaan. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Fiesta Berbendang anjuran Najib Razak Club meriah


PESERTA yang menyertai Sukan Rakyat dan Fiesta Berbendang di Parit Air Hitam anjuran Najib Razak Club (NRC) 11 dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan,swasta dan badan bukan kerajaan. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Hampir 1,000 pengunjung teruja menyaksikan sukan rakyat dalam Fiesta Berbendang anjuran Kelab Najib Razak 11 (NRC 11) di Parit Air Hitam, di sini petang tadi.

Penyelaras Program NRC 11 Bagan Serai, Rosli Hamzah, berkata hampir semua acara dipertandingkan pada program itu dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), yang diadakan di kawasan sawah.

"Lebih menarik ada beberapa aktiviti sukan yang mewajibkan peserta memakai kain pelekat dan batik seperti bola jaring, bola sepak dan lumba basikal bagi memaparkan tradisi pakaian orang kampung terdahulu.

"Kehadiran pengunjung cukup memberangsangkan," katanya ketika ditemui pada program itu.

Rosli berkata, selain program kemasyarakatan, NRC 11 turut terbabit dalam program tanggungjawab sosial (CSR) seperti ziarah kasih, gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan dan masjid.

Katanya, setakat ini pihkanya sudah mengadakan sebanyak 25 program di daerah Kerian.

Sementara itu, seorang pengunjung berasal dari Johor dan kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Selangor, Norsyahira Suhaimi, 22, berkata fiesta itu unik.

"Acara yang paling unik adalah 'gagau' atau menangkap ikan keli menggunakan tangan di dalam parit," katanya.

Penduduk sekitar, Fazlee Yahaya, 32, pula berkata fiesta itu memberi kesan positif dalam aspek semangat kesukanan, setiakawan dan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta dan penduduk.

"Sepanjang saya tinggal di sini ini kali pertama fiesta bendang dianjurkan dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat ," katanya.

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Bagan Serai, Ahmad Fairuz Abdullah Sani, berkata pihaknya kagum dengan penerimaan penduduk terhadap penganjuran fiesta itu dan bercadang menjadikanya sebagai acara tahunan di Parlimen Bagan Serai.

Berita Harian X