Ahad, 13 Ogos 2017 | 12:55pm
KETUA Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Beberapa jalan ditutup sempena persandingan Puteri Johor

JOHOR BAHRU: Tiga laluan di Jalan Ayer Molek, Yahya Awal dan Dato Onn berhampiran Istana Besar Johor, akan ditutup sempena Istiadat Persandingan Diraja Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata jalan itu akan ditutup secara berperingkat mulai jam 6 petang esok.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengerahkan 318 anggota dalam penugasan pengiring, kawalan keselamatan dan lalu lintas sepanjang majlis terbabit.

"Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

"Polis turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan yang diberikan oleh anggota polis daripada semasa ke semasa supaya keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, polis Johor tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sebarang perlakuan dan perbuatan yang tidak mematuhi undang-undang.

972 dibaca
Berita Harian X