Ahad, 13 Ogos 2017 | 12:49pm

4,800 penutup botol jadi Jalur Gemilang

KUALA TERENGGANU: Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (PATUT) yang terdiri daripada usahawan muda di negeri dan SME Corp Malaysia, hari ini berjaya menghasilkan Jalur Gemilang dengan menggunakan 4,809 penutup botol terpakai.

Selain itu, sebanyak 1,000 bendera Malaysia turut diagihkan secara percuma kepada semua usahawan muda di negeri Terengganu bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

Presiden PATUT, Amir Hakimin Che Razali, berkata pihaknya mengambil masa selama dua minggu bagi menyiapkan bendera unik yang ditampal di sisi bangunan SME Corp, di Jalan Masjid Abidin, di sini.


Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim (empat dari kanan) bersama ahli Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (PATUT) yang terdiri daripada usahawan muda di negeri dan SME Corp Malaysia selepas mencipta sejarah mereka tersendiri apabila berjaya menghasilkan bendera Malaysia dengan menggunakan 4,809 penutup botol terpakai sempena gimik Negaraku bersempena menyambut Bulan Kemerdekaan di hadapan bangunan SME Corp KualaTerengganu. - Foto Ghazali Kori

"Aktiviti ini bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan belia dan hasil daripada komitmen yang diberikan oleh 145 ahli PATUT, kami akhirnya berjaya menyiapkan bendera ini.

"Usaha ini penting kerana semua ahli kami terdiri daripada usahawan muda berusia 18 hingga 30 tahun. Saya yakin dengan adanya aktiviti sebegini, kita dapat memupuk kesedaran mengenai pentingnya memelihara kedaulatan dan kemerdekaan negara," katanya di sini, hari ini.

Hadir sama melengkapkan bendera bagi gimik perasmian logo berkenaan, Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim dan Pengarah SME Corp negeri, Muhammad Ibrahim.

Sementara itu, Hafsah berkata semangat patriotisme harus dipupuk secara berpanjangan terutama kepada golongan muda dalam melahirkan masyarakat yang sentiasa cintakan negara dan tidak melakukan perkara yang akan memburukkan nama serta imej negara.

225 dibaca
Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim (kanan) bersama ahli Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (PATUT) yang terdiri daripada usahawan muda di negeri dan SME Corp Malaysia meletak penutup botol sebagai gimik perasmian selepas mencipta sejarah mereka tersendiri apabila berjaya menghasilkan bendera Malaysia dengan menggunakan 4,809 penutup botol terpakai sempena gimik Negaraku bersempena menyambut Bulan Kemerdekaan di hadapan bangunan SME Corp KualaTerengganu. - Foto Ghazali Kori
Berita Harian X