Rabu, 19 Julai 2017 | 11:50am

5 langkah konkrit laksana 17 SDG: Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil lima langkah konkrit dalam melaksana 17 Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) secara lebih sistematik dan teratur.

Langkah berkenaan membabitkan merangka hala tuju SDG Nasional bagi membimbing pelaksanaan Agenda 2030 dan SDG.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

Langkah lain, mewujudkan pelbagai pihak berkepentingan; struktur tadbir urus yang diterajui oleh Majlis SDG Nasional dipengerusikan Perdana Menteri dan menjalankan kajian berhubung kesediaan data serta analisis jurang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata Malaysia turut mengambil langkah melaksanakan latihan pemetaan membabitkan pertubuhan bukan kerajaan, kemasyarakatan dan sektor swasta bagi menjadikan SDG selari dengan inisiatif Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Beliau yang mewakili Malaysia dalam laporan kemajuan SDG Forum Politik Peringkat Tertinggi (HLPF) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam berkata, walaupun sebahagian besar pelaksanaan dilakukan menerusi bajet tahunan, sumber turut digerakkan menerusi kerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk kaedah sumber khalayak, keusahawanan sosial, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan sokongan daripada sumber antarabangsa.

Katanya, beliau turut menarik perhatian wakil negara di HLPF bahawa Agenda 2030 mengukuhkan pendirian Malaysia dalam melaksanakan pembangunan mapan secara agresif, manakala prinsip SDG dipahat dalam setiap perancangan pembangunan yang dilaksanakan menerusi RMKe-11.

"Dalam Kajian Sukarela Nasional, saya menyatakan kejayaan berkaitan SDG bagi pihak Kerajaan Malaysia, seiring tema tahun ini iaitu 'Membasmi Kemiskinan dan Mewujudkan Keamanan Dalam Dunia Yang Berubah'.

"Pertama, kejayaan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak termasuk tema 'Menerajui Pertumbuhan Bagi Rakyat' dalam perancangan terkini Malaysia menunjukkan komitmen kita ke arah pembangunan mapan. 

"Tambahan pula, mengikut Bank Pembangunan Asia (ADB), Malaysia sudah mencapai pengurangan terbesar dari segi peratusan penduduk di bawah garis kemiskinan dalam kalangan negara ASEAN, " katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, Malaysia turut mengekalkan usaha menyediakan makanan tambahan kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin, meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) dan kini sedang menyediakan kesan bencana berkaitan iklim, dalam usaha membasmi kebuluran dan malnutrisi.

513 dibaca
Berita Harian X