Isnin, 17 Julai 2017 | 11:47pm
ALLAHYARHAM Salleh Mamat, 81, disahkan meninggal dunia petang tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana demam dan sakit tua. - Foto Ihsan Pejabat Penyelaras DUN Langkap

Bekas ADUN Langkap meninggal dunia

KUALA TERENGGANU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Salleh Mamat, 81, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, petang tadi.

ADUN Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya jam 6.41 petang tadi kerana demam dan sakit tua.

Beliau berkata, Allahyarham dimasukkan ke HSNZ sejak Sabtu lalu kerana demam.

Sabri berkata, beliau dimaklumkan oleh keluarga Allahyarham, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tong, Setiu, pagi esok.

Allahyarham Salleh atau lebih mesra dengan panggilan Pok Su Leh menjadi ADUN Langkap selama tiga penggal selepas menewaskan calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, 1978 dan 1982.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di laman Facebook rasminya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka tabah dan reda.

552 dibaca
Berita Harian X