Isnin, 17 Julai 2017 | 10:18pm

BH berjaya harungi cabaran alaf baharu

KUALA LUMPUR: Akhbar BH sebagai organisasi media ulung, disifatkan berjaya mengharungi cabaran alaf baharu kesan teknologi digital untuk kekal bersaing dalam arus perdana, sekali gus mengekal dan menambah pembacanya dari semasa ke semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid, berkata BH berjaya menawarkan nilai tambah dalam pemberitaan seperti Liputan FB Live, BHTV, Facebook BH Online dan Twitter, yang menepati ciri kewartawanan alaf baharu.

Beliau berkata, dalam tempoh enam dekad penerbitannya, BH mencatatkan 1,001 sejarah tanah air yang luas dan pelbagai termasuk tahun ini genap 20 tahun menganjurkan seminar bimbingan peperiksaan, diikuti mewujudkan portal pendidikan dan aplikasi, FullAMark.

"Di pentas hiburan tanah air, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) bertahan selama tiga dekad dengan edisi terbaharu ABPBH 3.0 mencatat jumlah tontonan 5.2 juta orang pada Mei lalu.

"Sumbangan dan peranan BH tidak hanya diperakukan di dalam negara berdasarkan rekod sembilan kali menerima Anugerah Kajai sejak 1992.

"...di peringkat antarabangsa, muka depan sisipan Keluaran Khas BH sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menerima Anugerah Reka Letak Muka Depan Terbaik anjuran Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Dunia (WAN-INFRA) pada Anugerah Media Asia 2014 di Hong Kong," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun BH Ke-60 di Balai Berita di sini, malam ini.

Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Seri FD Iskandar; Pengarah Urusan Media Prima Bhd, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun BH Ke-60, Datuk Badrulhisham Othman.

Lebih 500 tetamu jemputan termasuk kakitangan dan bekas kakitangan hadir pada majlis itu.

Sempena majlis itu, BH turut melancarkan wajah baharu laman web akhbar itu yang menyaksikan paparan lebih dinamik, kemas dan interaktif, sesuai dengan kecenderungan pembaca masa kini.

Sementara itu, Mahfar dalam ucapannya, berkata perjalanan 60 tahun BH tidak sempurna tanpa kecekalan kakitangan serta bekas kakitangan yang membina asas dan seterusnya memperkukuhkan perjuangan akhbar ini sehingga menjadi sejarah besar dalam persuratkhabaran negara.

Katanya, pertemuan itu bukan saja untuk merayakan sejarah sebuah akhbar, sebaliknya lebih utama bagi meraikan modal insan yang membina dan mengembangkan akhbar BH.

"Marilah kita jadikan pertemuan malam ini sebagai satu teladan untuk meneruskan perjuangan tanpa sempadan ke dunia baharu yang lebih mencabar dan mendebarkan," katanya.

PENGARANG Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali (tiga dari kanan) bersama bekas Pengarang Kumpulan BH (dari kiri) Datuk A Kadir Jasin, Datuk Manja Ismail, Datuk A Samad Said, Datuk Rejal Arbee, Datuk Ahmad Nazri Abdullah dan Datuk Mior Kamarulbaid Shahid memotong kek di majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun BH Ke-60 BH di pekarangan Balai Berita Bangsar. - Foto Surianie Mohd Hanif
ANTARA tetamu yang hadir memeriahkan majlis makan malam sempena Ulang Tahun BH Ke-60 di Balai Berita, Bangsar. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SEBAHAGIAN daripada kakitangan BH dan tetamu menuntut hadiah cabutan bertuah dari urusetia pada majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun BH Ke-60 di pekarangan Balai Berita Bangsar. - Foto Mohd Shahril Badri Saali
PENGERUSI NSTP, Tan Sri Ismail Omar (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid bergambar bersama Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali yang turut menerima anugerah perkhidmatan 25 tahun serta penerima lain pada majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun BH Ke-60 di Balai Berita Bangsar. - Foto Nuradibah Ahmad Izam
PENYANYI Haiza dan Aepul Drama Band membuat persembahan pada majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun BH Ke-60 di Balai Berita Bangsar. - Foto Halimaton Sadiah Sulaiman
KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (dua dari kanan) dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali (kiri) beramah mesra dengan bekas Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan (kanan) dan Pengerusi Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar (dua dari kiri). - Foto Shahril Badril Saali
Berita Harian X