Isnin, 17 Julai 2017 | 7:26pm
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali. - Foto Noor Atiqah Sulaiman

i-kad pelajar asing dilengkapi ciri keselamatan tinggi

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen sedang dalam proses untuk mewartakan i-kad sebagai pengenalan diri pelajar asing yang sah di institusi pengajian tinggi berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata dengan pewartaan itu, i-kad pelajar asing boleh digunakan sebagai pengenalan diri selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mustafar berkata Jabatan Imigresen sedang memuktamadkan format i-kad untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada draf Peraturan-Peraturan Imigresen (Pindaan 2017) melalui Bahagian Hal-Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"i-kad untuk pelajar asing ini akan diperkenalkan dengan format baharu dan ciri keselamatan yang dipertingkat bagi mengelakkan pemalsuan dan salah guna kad.

"Kad format baharu ini akan dilengkapkan dengan cip biometrik versi baharu dan nombor pengenalan diri kekal agar diiktiraf oleh semua agensi penguatkuasaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata penggunaan i-kad sebagai pengenalan diri pelajar asing tetapi ia bukan sebagai ganti pengenalan diri yang mutlak kepada pasport.

"Namun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa semua agensi penguat kuasa undang-undang untuk menerima i-kad pelajar asing ini sebagai kad yang sah pengganti kepada pasport," katanya.

166 dibaca
Berita Harian X