Jumaat, 14 Julai 2017 | 5:11pm
PENGERUSI Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Noor Azmi Ghazali melancarkan gimik tambah nilai kad Touch n Go pada majlis pelancaran pelaksanaan ETC bagi LPT1 dan LPT2 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, hari ini. - Foto Nazirul Roselan

LPT guna tol elektronik mulai 14 Ogos


PENGERUSI Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Noor Azmi Ghazali melancarkan gimik tambah nilai kad Touch n Go pada majlis pelancaran pelaksanaan ETC bagi LPT1 dan LPT2 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, hari ini. - Foto Nazirul Roselan

TEMERLOH: Semua 19 plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1 dan LPT2) sepanjang 357.9 kilometer akan menggunakan kutipan tol elektronik (ETC) sepenuhnya mulai jam 12 tengah hari pada 14 Ogos ini.

Daripada jumlah itu, sembilan plaza tol di LPT1 dan 10 lagi di LPT2 akan menggunakan kad Touch n Go atau SmartTAG di semua lorong.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Noor Azmi Ghazali, berkata pihaknya percaya pengguna di Pantai Timur sudah bersedia dengan sistem yang sudah diguna di 158 plaza tol di seluruh negara.

"Semua plaza tol di LPT1 dan LPT2 akan memastikan kemudahan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch n Go di lorong beroperasi 24 jam.

"Syarikat konsesi LPT1 iaitu ANIH Berhad dan LPT2 (LPT2 Sdn Bhd) juga sudah pastikan kakitangan akan ditempatkan di lorong bagi membantu masalah yang dihadapi pengguna jika mereka menghadapi masalah ketika melaksanakan transaksi pembayaran tol elektronik di plaza tol.

"LPT1 turut menyediakan kaunter penjualan kad Touch n Go dan khidmat tambah nilai di Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi 15 jam setiap hari, bermula jam 7 pagi hingga 10 malam," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pelaksanaan ETC bagi LPT1 dan LPT2 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah LLM, Datuk Ismail Salleh, Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein dan Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd, Husni Md Yusuf.

Berita Harian X