Jumaat, 12 Oktober 2018 | 4:14pm
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy (tengah) dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshell (kiri( semasa sidang media di Pusat Khidmat Kadun Perai, Taman Chai Leng. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kerajaan digesa ubah dasar berkaitan SOSMA

BUTTERWORTH: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, memohon kerajaan menilai semula dasar menyenarai hitam bekas tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Beliau berkata, penilaian semula dasar seumpamanya akan membolehkan bekas tahanan SOSMA dan keluarga mereka menjalani kehidupan biasa seperti rakyat Malaysia yang lain.

Katanya, individu berkenaan sudah insaf dan perlu diberi peluang untuk memulakan kehidupan baru dengan aman.

“Seramai 442 tahanan yang dijamin selepas pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka ditukar kepada Akta Pertubuhan 1966 menghadapi pelbagai rintangan dan hidup dalam keadaan bimbang serta ketakutan.

“Kebanyakan mereka tidak berupaya untuk membina semula kehidupan kerana percaya akan dicekup semula berdasarkan rekod lampau mereka,” katanya pada sidang media bersama keluarga tahanan SOSMA di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Prai, di Taman Chai Leng di sini, hari ini.

Ramasamy berkata, walaupun polis mempunyai tugas untuk menjaga ketenteraman awam, mereka juga harus mempunyai bukti baru yang kukuh bagi menahan seseorang dan bukan semata-mata berdasarkan rekod lampau.

Katanya, penahanan tanpa bukti baru dan hanya berdasarkan rekod lampau adalah satu penghinaan kepada bekas tahanan yang sudah insaf serta mahu memulakan hidup baru.

“Ini adalah satu pencabulan hak asasi manusia kerana bekas tahanan juga mesti diberi peluang untuk menjalani kehidupan dan menyara keluarga yang sebelum ini merana akibat masalah kewangan semasa ketua keluarga ditahan.

“Ada di antara mereka terpaksa mengeluarkan belanja puluhan ribu bagi membayar peguam yang mengendalikan kes suami atau anak mereka.

“Kadangkala, peguam yang dilantik cuma mengambil kesempatan walaupun sedia maklum bahawa mereka yang ditahan di bawah SOSMA sukar untuk dibebaskan daripada pertuduhan. Justeru, kerajaan digesa ubah dasar berkaitan SOSMA,” katanya.

Tambah Ramasamy, bekas tahanan SOSMA juga tidak berupaya memulakan kehidupan baru seperti berniaga atau memohon pekerjaan kerana rekod lampau mereka.

Katanya, nama mereka yang disenarai hitam oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyebabkan mereka sukar untuk mencari rezeki yang halal.

“Rekod lampau jenayah dan penjenayah sememangnya penting untuk keselamatan negara, namun ia tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyekat kehidupan seseorang.

“Polis boleh memantau pergerakan bekas tahanan ini secara sulit dan boleh menahan mereka sekiranya terjebak kembali dengan jenayah,” katanya.

203 dibaca
Berita Harian X