Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:56pm
RAMKARPAL (kiri) ketika hadir permohonan Muhsin Abdul Latheef untuk semakan keputusan Mahkamah Tinggi, melepas dan membebaskan Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong
MUHSIN Abdul Latheef (kanan) bersama J Gunamalar (kiri) hadir bagi mendengar permohonanya untuk semakan keputusan Mahkamah Tinggi, melepas dan membebaskan Lim Guan Eng dan Phang Li Koon daripada tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong

Mahkamah tolak permohonan kaji semula kes Guan Eng

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan untuk mengkaji semula pembebasan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, permohonan itu ditolak berikutan pemohon, Muhsin Abdul Latheef, tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk memfailkan kes itu.

“Pemohon hanyalah seorang pengadu dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan prosiding dalam kes terbabit, oleh itu beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam memfailkan permohonan berkenaan.

“Sepatutnya, pihak pendakwa yang perlu memfailkan permohonan itu di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Beliau berkata, Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah juga menyatakan bahawa mahkamah juga tidak mempunyai kuasa untuk menyemak dan mengkaji semula pertuduhan itu.

Menurutnya, mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, hanya Peguam Negara yang mempunyai kuasa tunggal untuk menuntut, menarik balik pertuduhan dan mengurangkan pertuduhan dalam mana-mana kes tertentu dan tiada seorangpun, mahupun mahkamah, mempunyai kuasa mempersoalkannya kecuali Perkara 145 dikaji semula.

“Dalam kes ini, saya mengesahkan bahawa pengadu tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan kerana dia bukan tertuduh.

“Saya boleh membuang kes ini dalam masa lima minit namun saya perlu mendengar daripada semua pihak untuk memberi keputusan yang adil,” katanya.

Muhsin hadir ditemani peguamnya J Gunamalar manakala Ramkarpal Singh dan Datuk V Sitthambaram masing-masing mewakili Guan Eng dan Li Koon.

1899 dibaca
Berita Harian X