Rabu, 10 Oktober 2018 | 4:31pm
Pemandu treler disyaki mengakibatkan kemalangan sehingga menyebabkan lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan di KM255.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Terowong Menora, Sabtu lalu. - Foto Muhaizan Yahya

Reman pemandu treler disambung

KUALA KANGSAR: Tempoh tahanan reman terhadap pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan mengakibatkan lima orang rentung di Kilometer 255.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Terowong Menora, dekat sini, Sabtu lalu, disambung tiga hari lagi.

Reman bagi membantu siasatan kes itu disambung selepas tempoh reman kali pertama selama dua hari ke atas pemandu berusia 41 tahun itu tamat hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan, berkata polis menahan suspek di lokasi kejadian pada petang hari kejadian sebelum perintah reman diperoleh selama dua hari pada keesokannya.

Katanya, tempoh reman suspek bagaimanapun dilanjutkan hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Sementara itu beliau berkata, laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) keempat-empat waris yang mendakwa ahli keluarga dan mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa yang rentung dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor, untuk dianalisis.

“Laporan DNA itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu bergantung kepada siasatan jabatan berkenaan,” katanya ketika ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta jenis Kia Forte dinaiki kelima-lima mangsa sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

250 dibaca
Berita Harian X