Isnin, 8 Oktober 2018 | 2:54pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini berhubung kes kemalangan maut. - Foto BERNAMA

Hukuman gantung lesen seumur hidup disyorkan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan mencadangkan kajian semula terhadap Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pesalah yang menyebabkan kematian termasuk lesen memandu digantung seumur hidup.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kajian akan dibuat secara terperinci dan perkara itu perlu diberikan perhatian kerana pihaknya memandang serius terhadap kes kemalangan sehingga menyebabkan kematian.

“Hukuman di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan dilihat longgar, sekarang hukuman penjara maksimum adalah 10 tahun dan dalam kebanyakan kes terdahulu, hukuman yang dikenakan ke atas pesalah tidak sampai 10 tahun dan tanpa sebatan.

“Lesen juga hanya digantung untuk tiga tahun saja bagi kesalahan pertama dan kesalahan kedua 10 tahun, kita mahu cadangkan supaya lesen pesalah di bawah seksyen ini digantung untuk seumur hidup,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian lima sekeluarga yang maut selepas kenderaan jenis Kia Forte yang dinaiki dihimpit treler membawa muatan bijih besi sebelum terbakar dalam insiden kira-kira jam 11.45 pagi Sabtu lalu.

Kemalangan itu mengakibatkan kereta berkenaan terhimpit di antara pembahagi jalan konkrit di tengah laluan dengan badan treler sebelum kereta itu terbakar.


PERMIT 28 kenderaan Syarikat Usaha Maju Trading Sdn Bhd, yang terlibat kemalangan maut di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, digantung dua minggu berkuatkuasa hari ini. - Ihsan Bomba

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian itu bagaimanapun akan mengambil masa kerana ia membabitkan pindaan akta berkenaan.

“Kita juga akan membuat perbincangan lanjut dengan pemegang taruh bagi melihat dan mendapat pandangan mereka termasuk implikasi kepada pindaan ini nanti.

“Pada masa sama, kementerian juga mahukan input daripada pelbagai pihak, perkara ini perlu kerana kerajaan bimbang kerana kes kemalangan mengakibatkan kehilangan jiwa amat tinggi di negara ini,” katanya.

1053 dibaca
Berita Harian X