Isnin, 8 Oktober 2018 | 12:56pm

Tragedi 5 rentung nahas: Pemandu treler direman dua hari

KUALA KANGSAR: Pemandu treler terbabit dalam kemalangan mengakibatkan lima mangsa rentung di Kilometer (KM) 255.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Terowong Menora, di sini, Sabtu lalu, direman dua hari bagi membantu siasatan kes itu.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Kuala Kangsar, Noorhidayah Mohd Saad, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, dilaporkan sebagai berkata pemandu treler berkenaan ditahan di lokasi kejadian sejurus kemalangan pada jam 11.47 pagi untuk siasatan lanjut.

Razali berkata, hasil semakan mendapati lelaki berasal dari Alor Setar, Kedah itu memiliki 13 saman trafik, termasuk memandu melebihi had laju, manakala syarikat pemilik treler terbabit pula ada 11 saman atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal, pemandu terbabit mendakwa terpaksa membelok ke kanan menghimpit pembahagi jalan bagi mengurangkan kelajuan treler selepas mendapati breknya gagal berfungsi dan tidak menyedari kereta mangsa berada di sebelah kenderaannya pada ketika itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri pula dilaporkan sebagai berkata, anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler berkenaan dan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

1569 dibaca
SEORANG pemandu treler direman 2 hari disyaki mengakibatkan kemalangan sehingga menyebabkan lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan di KM255.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Terowong Menora, Sabtu lalu. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X