Sabtu, 6 Oktober 2018 | 10:13pm

Tolong...tolong...tolong

KUALA KANGSAR: Hanya jeritan lemah meminta tolong didengari saksi kemalangan ngeri membabitkan treler dan sebuah kereta terbakar hingga mengakibatkan lima dipercayai sekeluarga rentung di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora di sini pagi tadi.

Nurul Amelia Amran yang sedang memandu dari arah bertentangan berkata, ketika berselisih dengan kereta mangsa beberapa minit selepas kejadian berlaku dia mendengar jeritan seorang wanita yang tersepit di dalam kereta meminta tolong.


NURUL Amelia Amran saksi tempat kejadian kemalangan di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. - Foto L.Manimaran

Menurutnya, ketika kejadian keretanya hanya beberapa meter dari kereta mangsa dan dia berasa sangat terkilan kerana tidak mampu menolong mangsa.

“Saya menuju ke arah Ipoh dari Kuala Kangsar dan nampak semuanya dengan mata saya sendiri...dari jauh saya nampak lori itu menghampiri kereta mangsa sehingga ia dihimpit di antara treler dan pembahagi jalan.

“Ketika kereta saya berselisih dengan kenderaan yang kemalangan itu saya terdengar suara seorang perempuan meminta tolong.

“Suara itu sangat lemah tetapi saya boleh dengar kerana saya berada tidak jauh dari kejadian itu dan saya kemudian berhenti di bahu jalan untuk melihat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini hari ini.

Nurul Amelia berkata, banyak pengguna lebuh raya lain yang berhenti untuk menolong mangsa di dalam kereta itu tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu marak.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta berkenaan ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata buat masa ini identiti kesemua mangsa masih belum diperoleh susulan rentung dan usaha mengenalpasti mangsa sedang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler yang membawa muatan biji besi (amang) dengan sebuah kereta yang nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan (terbakar).


ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah lori dan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. - Ihsan Bomba

“Kenderaan berat dan kereta itu dipercayai dari arah selatan menghala ke utara dan sebaik tiba di lokasi kejadian treler berkenaan dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan sebelum menghimpit dan menggesel beberapa kenderaan lain termasuk kereta yang terbakar itu.

“Kereta dinaiki mangsa diseret di lorong kanan menyebabkan terhimpit antara pembahagi jalan konkrit di tengah laluan dengan badan treler sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu pemandu dan semua penumpang kereta berkenaan tersepit di dalam kenderaan dan setakat ini disahkan lima maut terbakar di tempat kejadian.

“Pemandu treler berusia 41 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan maklumat lanjut kesemua mangsa akan diberikan kemudian selepas pegawai penyiasat memperolehi maklumat mengenainya.

“Usaha mengenalpasti jenis kereta yang terbakar itu juga sedang dijalankan dan sisatan lanjut kini dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

6001 dibaca
ANGGOTA bomba dan polis mengaminkan doa di tepi lima mayat termasuk seorang bayi yang rentung akibat terperangkap dalam kereta akibat nahas membabitkan kereta dan sebuah treler di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. - Ihsan pembaca
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah lori dan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. - Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam sisa kebakaran sebuah lori dan kereta di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora. - NSTP/L Manimaran
Berita Harian X