Sabtu, 6 Oktober 2018 | 6:42pm

5 rentung nahas dekat Terowong Menora

KUALA KANGSAR: Lima dipercayai sekeluarga disahkan rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta berkenaan ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata buat masa ini identiti kesemua mangsa masih belum diperoleh susulan rentung dan usaha mengenalpasti mangsa sedang dijalankan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler jenis Volvo bersama muatan biji besi (amang) dengan sebuah kereta yang nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan (terbakar).

"Kenderaan berat dan kereta itu dipercayai dari arah selatan menghala ke utara dan sebaik tiba di lokasi kejadian treler berkenaan dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan sebelum menghimpit dan menggesel beberapa kenderaan lain termasuk kereta yang terbakar itu.

"Kereta dinaiki mangsa diseret di lorong kanan menyebabkan terhimpit antara pembahagi jalan konkrit di tengah laluan dengan badan treler sebelum terbakar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah lori dan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. - Foto ihsan Bomba

ANGGOTA bomba dan polis mengaminkan doa di tepi lima mayat termasuk seorang bayi yang rentung akibat terperangkap dalam kereta akibat nahas membabitkan kereta dan sebuah treler di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. - Foto ihsan pembaca

Menurutnya, akibat kemalangan itu pemandu dan semua penumpang kereta berkenaan tersepit di dalam kenderaan dan setakat ini disahkan lima maut terbakar di tempat kejadian.

"Pemandu treler berusia 41 tahun bagiamanapun tidak mengalami kecederaan dan maklumat lanjut kesemua mangsa akan diberikan kemudian selepas pegawai penyiasat memperolehi maklumat mengenainya.

"Usaha mengenalpasti jenis kereta yang terbakar itu juga sedang dijalankan dan sisatan lanjut kini dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ahmad Adnan berkata, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar, berkata kerja-kerja mengalihkan treler berkenaan berjaya dilakukan dan pemeriksaan pihaknya mendapati seramai lima mangsa ditemui rentung dalam kereta berkenaan.

"Kesemua mangsa kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Sekarang kerja-kerja mengalihkan sepenuhnya treler berkenaan sedang dilakukan," katanya.

8376 dibaca
LIMA mayat termasuk seorang bayi rentung akibat terperangkap dalam kereta berjaya dikeluarkan bomba selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. - Foto ihsan pembaca
LIMA mayat termasuk seorang bayi rentung akibat terperangkap dalam kereta berjaya dikeluarkan bomba selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X