Sabtu, 15 September 2018 | 12:31am

3 termasuk seorang pelajar SPM maut

KUALA KANGSAR: Tiga termasuk pelajar SPM, UPSR maut selepas kereta dinaiki dirempuh dan diseret sebuah treler di Batu 18, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di Kampung Jamuan, Kota Lama Kiri, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan itu, dua beradik yang maut adalah Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Muhammad Asyraf Hamdan Al Fikri, 27.

Seorang lagi yang maut adalah Muhammad Amirul Fahmi Samsudin, 12, yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Kesemua mereka yang menaiki kereta jenis Nissan Sunny maut di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abdul Sattar, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian berhampiran pusat timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.36 malam.


Mangsa yang maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan bersama sebuah treler di Batu 18, Jalan Ipoh - Kuala Kangsa. Dari kiri; Muhammad Asyraf Hamdan Al Fikri, 27, Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri, 17 dan Muhammad Amirul Fahmi Samsudin,12. - Foto ihsan Bomba

Kemalangan sebuah kereta dengan sebuah treler di Batu 18, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan. - Foto ihsan Bomba

Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati kereta berkenaan terbabas di sebelah kiri jalan dan berada di bawah treler tanpa muatan.

"Anggota bomba bagaimanapun terpaksa meminta bantuan kren milik sebuah syarikat swasta untuk mengangkat treler berkenaan.

"Bomba turut mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa berikutan kereta terbabit tersangkut di kabel elektrik TNB (Tenaga Nasional Berhad) bervoltan tinggi dan terpaksa meminta bantuan syarikat berkenaan bagi memutuskan bekalan elektrik di kawasan itu untuk sementara waktu," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, susulan itu anggota bomba bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengeluarkan mangsa dan memastikan tiada mangsa lain terbabit dalam kemalangan itu.

"Operasi tamat kira-kira jam 11.30 malam," katanya.


Kemalangan sebuah kereta dengan sebuah treler di Batu 18, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan. - Foto ihsan Bomba

2766 dibaca
Kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan treler di Batu 18, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di Kota Lama Kiri. - Foto ihsan PDRM
Berita Harian X